FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Isu mendaulatkan serta penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sering jadi tumpuan namun ia kerap 'panas' seketika sebelum ia 'disapu di bawah permaidani.'

Apa kesannya kepada masyarakat dan negara, mengapa ia umpama dianaktirikan, bagaimana ia boleh berlaku, tidakkah kita rasa ia terlampau?

Ikuti wawancara Pensyarah dan Penyelidik di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur PROF MADYA DR MUHAMMAD FATHI YUSOF bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengupas isu ini.

Takrifan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dari segi Perlembagaan?

Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan Bahasa Melayu pada martabat yang tinggi.

Istilah yang digunakan dalam Perlembagaan bukannya 'bahasa rasmi' tetapi 'bahasa kebangsaan.' Peruntukan Perkara 152 fasal (1) menyebut 'bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu'.

Bila disebut bahasa kebangsaan, maka ia lebih tinggi daripada bahasa rasmi.

Perkataan 'kebangsaan' atau national dalam Bahasa Inggeris bukan merujuk kepada bangsa tertentu dalam Malaysia, tetapi ia merujuk kepada seluruh rakyat dalam negara.

Ia mempunyai kaitan dengan konsep nation state atau negara bangsa.

Selepas Perang Dunia Kedua, wujud kecenderungan antarabangsa yang disokong oleh badan dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk kemerdekaan dan penubuhan 'negara bangsa.'

Setiap negara bangsa mempunyai identiti, terutamanya daripada sudut agama, kaum atau bahasa.

Bila kita mencapai kemerdekaan pada 1957, identiti ini diungkap dalam Perlembagaan.

Contoh, nama negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia berkait rapat dengan bangsa Melayu.

Islam pula ditetapkan sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3 manakala bahasa diperuntukkan di bawah Perkara 152.

Identiti yang dimaksudkan ini bukan sekadar simbol, tetapi ia adalah elemen teras kepada sesebuah negara.

Ia menjadi faktor penyatu kepada rakyat dalam sesebuah negara. Jika identiti ini tergugat atau rapuh, maka kesepaduan dan kestabilan negara boleh terjejas.

Jadi bila disebut Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka ia bukan soal yang remeh.

Implikasi perundangan Bahasa Melayu sebagai 'bahasa kebangsaan' sebenarnya besar.

Selepas 64 tahun merdeka, bagaimana Prof melihat penggunaan Bahasa Melayu di negara ini sebagai bahasa kebangsaan?

Jika kita membaca Perlembagaan dan meneliti sejarah sebelum kewujudan Perlembagaan, kita dapat memahami bahawa matlamat yang dihasratkan ialah untuk mengangkat Bahasa Melayu pada tempat yang lebih tinggi secara beransur-ansur menggantikan peranan Bahasa Inggeris dalam beberapa fungsi perundangan dan urusan rasmi.

Bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa ilmu, bahasa urusan rasmi pemerintahan dan bahasa komunikasi antarabangsa di rantau Asia Tenggara terutama sejak zaman Kesultanan Melaka.

Sultan-sultan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam komunikasi sesama kerajaan dan juga dengan penjajah.

Dokumen-dokumen perjanjian juga dicatat menggunakan Bahasa Melayu.

Bahkan di peringkat awal, British sendiri amat mengambil berat kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan pegawai mereka.

Sehingga terdapat syarat kelayakan kemampuan Bahasa Melayu bagi menduduki jawatan tertentu dalam pentadbiran British.

Namun, selepas Perang Dunia Kedua, wujud kecenderungan untuk lebih banyak menggunakan Bahasa Inggeris dalam pentadbiran British di Tanah Melayu.

Kedudukan Bahasa Melayu agak terjejas. Atas sebab ini maka Perlembagaan mewujudkan Perkara 152.

Ia mempunyai peranan untuk mengukuhkan peranan Bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.

Sejak merdeka, kerajaan sudah melaksanakan beberapa langkah proaktif bagi meluaskan penggunaan Bahasa Melayu dalam pentadbiran, pendidikan dan urusan rasmi bagi menggantikan bahasa peninggalan penjajah.

Memang ia bukan usaha yang mudah. Namun pada pertengahan 1960-an, sekitar 70 hingga 80 peratus daripada urusan rasmi menggunakan Bahasa Melayu.

Usaha ini diperkukuh melalui Akta Bahasa Kebangsaan (Akta 32) pada 1967 dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal.

Walaupun masih ada kelonggaran penggunaan Bahasa Inggeris, namun kadar penggunaannya semakin terhad berbanding sebelumnya.

Daripada sudut pendidikan pula, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama menggantikan Bahasa Inggeris
di sekolah tertentu dilaksanakan melalui proses secara beransur-ansur.

Nilai patriotik berdasarkan kefasihan berbahasa kebangsaan. Pendapat Prof.

Bahasa Melayu bukan hanya untuk orang Melayu, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.

Di sesetengah negara yang mengamalkan dasar asimilasi dari sudut budaya dan bahasa seperti Indonesia dan Thailand, seluruh rakyat perlu melalui pendidikan menggunakan bahasa pengantar kebangsaan.

Tidak ada sekolah jenis kebangsaan. Bahasa kebangsaan digunakan sepenuhnya sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan.

Identiti bahasa yang dibina melalui pendidikan banyak dipengaruhi oleh kelonggaran yang diberikan dalam sistem pendidikan termasuklah melalui kewujudan sekolah jenis kebangsaan dan sekolah swasta yang tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Bagi saya, syarat kelulusan mata pelajaran Bahasa Melayu yang ditetapkan melalui peperiksaan awam seperti SPM tidak mencukupi untuk membina semangat patriotik.

Bahasa bukan untuk dihafal tapi untuk digunakan dalam komunikasi.

Bagaimana kita dapat melahirkan rakyat yang berbangga dengan bahasa kebangsaan, jika mereka gagal bertutur dengan bahasa kebangsaan.

Inilah cabaran besar yang kita hadapi.

Lahir dan membesar di Malaysia namun gagal menguasai, malah lebih teruk tidak tahu berbahasa Melayu.

Ya, inilah akibat sistem pendidikan yang longgar tadi. Sampai masanya untuk kita menilai kembali.

Bagi saya, sistem pendidikan yang menggunakan bahasa pengantar pelbagai bahasa ini perlu ditukar.

Sekurang-kurangnya di peringkat sekolah rendah, rakyat perlu melalui pendidikan yang menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu.

Bila disebut rakyat, maksudnya warganegara. Bagi warganegara Malaysia, ia sepatutnya wajib.

Bahasa Cina, Tamil dan bahasa-bahasa kaum lain termasuk Orang Asli dan etnik di Sabah dan Sarawak boleh terus kekal sebagai bahasa pertuturan, tetapi bukan bahasa pengantar dalam pendidikan.

Kegagalan rakyat Malaysia menguasai bahasa kebangsaan adalah kegagalan kita semua.

Jika pemimpin yang lahir di Malaysia sendiri tidak fasih untuk berbahasa Melayu atau tidak faham bahasa kebangsaan ini, bagaimana integrasi nasional boleh dicapai?

Pemimpin adalah contoh dan menjadi tonggak masyarakat. Mereka yang menyertai pilihan raya sebagai calon misalnya perlu menguasai Bahasa Melayu.

Selain daripada keperluan untuk berkomunikasi dengan rakyat, mereka juga perlu menyampaikan pandangan dan suara rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Parlimen.

Mereka juga perlu menguasai Bahasa Melayu untuk memahami dokumen yang dibentangkan termasuk rang undang-undang dan sebagainya.

Sepatutnya, pemimpin berbangga dengan kebolehan berbahasa Melayu, terutamanya Bahasa Melayu aras tinggi dengan kemampuan menyelitkan bidalan, pepatah, perumpamaan dan seumpamanya.

Jika diperhatikan, banyak negara besar seperti Jepun, Jerman, Perancis dan China yang menggunakan bahasa masing-masing bila berucap di pentas antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 6:35 AM