Ismail Sabri berucap dalam bahasa Melayu pada perhimpunan PBB.
Ismail Sabri berucap dalam bahasa Melayu pada perhimpunan PBB.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Langkah kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memartabatkan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi termasuk pada peringkat antarabangsa mampu memupuk jati diri rakyat serta membuktikan penggunaan bahasa ibunda itu tidak mengekang kemajuan negara.

Pelbagai usaha dilakukan bagi memperkasakan bahasa Melayu supaya penggunaannya selari dengan pemodenan dunia melalui dasar kerajaan yang diterajui beliau.

Beliau sebelum ini turut menegur agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini kerana lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya bahasa Melayu digunakan dalam semua acara atau majlis yang dianjur dengan meluas selepas ini untuk memastikan bahasa Melayu terus berkembang.

Lebih membanggakan, beliau mencipta satu lagi sejarah sebagai pemimpin tertinggi negara pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pakar bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa negara yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi.

Felo Majlis Profesor Negara itu berkata, bahasa Melayu juga identiti budaya rakyat negara ini bagi semua kaum di mana semua pihak perlu ada rasa bangga, sayang dan setia terhadap bahasa Kebangsaan itu.

"Bahasa Melayu juga sebagai bahasa penyatuan atas dasar sebab ia mewakili semua rakyat dan seluruh pelusuk negara," katanya.

Beliau berkata, usaha Ismail Sabri berucap dalam bahasa Melayu pada perhimpunan PBB adalah usaha baik memartabatkan bahasa kebangsaan di persada antarabangsa.

"Bagus sekali apa yang dilakukan itu dan apa yang baik tidak pernah terlambat asalkan perlu ada kesinambungan serta ia perlu diteruskan lagi selepas ini. Kita bangga menggunakan bahasa kita sendiri sebagai sebuah negara berdaulat.

"Amalan penggunaan bahasa Melayu perlu berterusan, maknanya sesiapa sahaja termasuk pemimpin dapat meneruskan amalan ini, berucap dalam sebarang majlis atau program di dalam dan luar negara kerana ia identiti negara," katanya.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, rakyat perlu ada rasa kepercayaan terhadap bahasa Melayu kerana ia dibina dengan baik dan mempunyai kemampuan tersendiri sebagai bahasa ilmu, penyatuan dan berupaya memajukan negara.

"Kita tidak menafikan kepentingan bahasa asing, tetapi kita perlu utamakan bahasa Melayu sebagai identiti negara kita dan ia adalah bahasa ilmu serta tidak mengekang kemajuan negara.

"Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu yang mampu memandaikan anak bangsa, sekali gus melahirkan pemimpin hebat," katanya.

Pakar bahasa, Dr Rohaidah Haron berkata, tindakan Perdana Menteri menggunakan bahasa Melayu dalam beberapa siri mesyuarat dan persidangan antarabangsa adalah bukti bahawa beliau menerapkan amalan 'kepimpinan melalui teladan' dan wajar menjadi ikutan pemimpin lain.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Bahasa Melayu Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya berkata, ia seiring dengan kedudukan bahasa Melayu itu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia yang berdaulat dan mempunyai identiti kukuh di mata dunia.

"Selain menyerlahkan kepemimpinan beliau dari aspek memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia, beliau disifatkan sebagai 'duta bahasa Melayu' yang membawa dan mempromosikan bahasa Melayu ke pentas dunia dengan yakin.

"Pendekatan sebegini perlu diteruskan pemimpin lain bahawa kita tegas dan mempunyai pendirian jelas dalam memartabatkan bahasa kita ke persada dunia," katanya.

Katanya, bahasa Melayu mesti diperkasa terlebih dahulu dalam kalangan rakyat Malaysia itu sendiri dan wajar dimulakan menteri dan pegawai kerajaan seterusnya peringkat masyarakat.

Menurutnya, kerajaan perlu menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dengan lebih tegas dan bersungguh-sungguh dengan cara memberi kuasa kepada agensi tertentu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan universiti awam untuk menguatkuasakan penggunaannya di negara ini.

"Untuk memperkasa bahasa Melayu, tindakan boleh dilaksana kerajaan (menerusi kementerian tertentu) ialah menggalakkan penyelidikan bersama berkenaan bahasa Melayu dengan universiti di luar negara yang mempunyai program bahasa Melayu dan menganjurkan seminar pada peringkat antarabangsa dengan lebih proaktif.

"Selain itu, kerajaan perlu menyediakan dana atau peruntukan khas untuk penyelidikan berkaitan bahasa Melayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 7:01 AM