PENYOKONG Barisan Nasional (BN) yang mengenakan pakaian bendera BN. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENYOKONG Barisan Nasional (BN) yang mengenakan pakaian bendera BN. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Luqman Arif Abdul Karim

[email protected],my

Johor Bahru: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-15 adalah isyarat bahawa rakyat tidak suka dipermainkan, sehingga menjadi pendorong kepada 'gelombang' yang hampir sama pernah tercetus pada 2018 lalu.

Bagaimanapun, gelombang yang ditafsirkan sebagai sentimen penolakan itu kali ini ditujukan kepada Pakatan Harapan (PH) apabila cengkaman di beberapa kubu kuat gabungan pembangkang berjaya ditembusi Barisan Nasional (BN).

Pengarah PRN Johor BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat menuntut pembelaan dan dasar yang berupaya memacu sosioekonomi mereka apabila mandat diberikan.

Seandainya tanggungjawab itu gagal dipenuhi dan mengundang penderitaan masyarakat dalam pelbagai aspek, beliau berkata, rakyat akan sentiasa ingat, meskipun pemimpin politik kembali menabur 'janji melangit' ketika berkempen.

"Apa yang saya boleh baca daripada keputusan PRN Johor hari ini (semalam) ialah terdapat apa yang dipanggil sebagai gelombang, seperti mana BN ditolak pada PRU-14, empat tahun lalu.

"Gelombang sama dihadapi terutama oleh PH kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalami banyak kekalahan, begitu juga DAP di tempat kubu kuat mereka.

"Jadi maknanya rakyat Johor memberi suatu isyarat yang amat kuat bahawa mereka jangan dipermainkan. Mereka perlukan sebuah kerajaan yang benar-benar terus membela mereka.

"Sejahterakan rakyat, sejahterakan negara, meningkatkan ekonomi. Bukan sebuah kerajaan yang diberikan mandat, tetapi tidak tahu mengurus dan akhirnya rakyat yang akan menderita, negara menjadi kucar-kacir," katanya kepada Berita Harian di ibu pejabat Umno Johor, di sini, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan bahawa BN melakar kemenangan selesa, dengan majoriti dua pertiga iaitu 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, diikuti PH sebanyak 11 kerusi, Perikatan Nasional (3) dan masing-masing satu kerusi oleh Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) serta PKR.

Peratusan keluar mengundi bagi PRN Johor Ke-15 adalah 54.92 peratus atau 1,426,573 orang iaitu kadar terendah berbanding Melaka dan Sarawak, yang masing-masing 65.85 serta 60.67 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 8:50 AM