Akmal Nasir
Akmal Nasir
Luqman Arif Abdul Karim


Johor Bahru: Parti Keadilan Rakyat (PKR) optimis berupaya melakar kemenangan di 20 kerusi ditandingi, dengan peluang diberikan mandat menjelang hari pengundian esok pada tahap '50-50'.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir, ketika menyuarakan keyakinan sedemikian berkata tempoh berbaki kurang 24 jam sebelum hari pembuangan undi ketika ini akan dimanfaatkan sebaiknya jentera parti dan calon bertanding.

Meskipun berdepan tentangan hebat calon lain dalam persaingan sekurang-kurangnya tiga penjuru, beliau berkata, PKR dijangka memperoleh keputusan baik, bersandarkan maklum balas rakyat Johor sepanjang tempoh berkempen sejak 24 Februari lalu.

"Kita di penghujung kempen, jadi sudah menjadi harapan kepada kami, PKR akan dapat satu keputusan yang baik esok, tetapi pada masa sama, di penghujung ini, kita masih ada masa.

"Sama ada meraih undi atau memastikan tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini. Saya rasa penuh semangat dan bila lihat maklum balas di Larkin, insya-Allah, PKR ada peluang.

"Kita ada peluang di Larkin dan secara tidak langsung beri gambaran di kawasan lain," katanya kepada BH selepas menghadiri Majlis Doa Selamat anjuran PKR di Flat Larkin Perdana, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Larkin, Dr Zamil Najwah Arbain.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, corak sokongan lebih 2.5 juta pengundi bagi PRN Ke-15 Johor sukar dijangka.

"Susah nak jangka, masing-masing kata peluang itu 50-50 dalam keadaan mungkin yang lebih angkuh, dapat dua pertiga, tapi bagi pihak PKR, kita optimistik.

"Tetapi kita tidak mahu meletakkan sebarang angka, seolah-olah mampu capai sasaran, namun kalau tak tercapai, kata kita tak capai sasaran pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 5:48 PM