SITUASI menarik landskap bunga tekoma di Melaka yang mula berbunga. FOTO Nazri Abu Bakar
SITUASI menarik landskap bunga tekoma di Melaka yang mula berbunga. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pemandangan di Melaka kini semakin menarik selepas landskap pokok bunga Tekoma mula mengeluarkan bunga berwarna warni.

Situasi itu persis musim bunga di Korea berikutan landskap bunga Tekoma pelbagai warna menghiasi laluan utama di negeri ini.

Antara kawasan dihiasi bunga itu termasuk di Paya Rumput, Sungai Petai, Masjid Tanah, Lendu, Sungai Udang, Cheng dan dan Bandaraya Melaka.

Penduduk, Nordin Ahmad, 53, berkata, pokok berkenaan kian mengeluarkan bunga walaupun belum sepenuhnya, sekali gus menjadikan suasana kian menarik serta ceria.

Katanya, pokok dengan nama saintifiknya 'tecoma stans' daripada keluarga Bignoniaceae berasal dari benua Amerika itu dengan warna putih dan merah jambu menampilkan kelainan di bandar raya ini.

"Ini pemandangan biasa di Melaka terutama setiap tahun pada Februari , Mac dan April. Kelopak bunga berguguran menampilkan keindahan dan pemandangan menakjubkan.

"Apapun kami percaya dalam dua atau tiga minggu lagi keadaan lebih menarik. Dalam keadaan cuaca hujan kini, ia dijangka akan mengeluarkan bunga dengan cepat," katanya.

Sementara itu, perakam video perkahwinan, Akmal Danish, 21 berkata, pemandangan amat mempesonakan ketika semua pokok mengeluarkan bunga pelbagai warna.

Justeru, dia berhasrat merakamkan video pengantin baharu di landskap itu yang dijangka lebih menarik dalam beberapa minggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 5:10 PM