YEOH (dua dari kiri) bersama Kanoya (kiri); Rashidah (dua dari kanan) dan Emi (kanan) menanam pokok Tekoma di Padang Esplanade, Georgetown. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
YEOH (dua dari kiri) bersama Kanoya (kiri); Rashidah (dua dari kanan) dan Emi (kanan) menanam pokok Tekoma di Padang Esplanade, Georgetown. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


PENANAMAN pokok tekoma di sekitar Georgetown bakal menjadi satu lagi tarikan kepada pengunjung apabila ia berbunga kelak.

Ia inisiatif Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Kelab Pink Hibiscus iaitu kelab dengan ahlinya terdiri daripada wanita Jepun yang tinggal di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Warisan, Kebudayaan Kesenian negeri, Yeoh Soon Hin berkata, pada permulaan sebanyak enam pokok ditanam di Padang Esplanade, Georgetown.

Beliau berkata, ratusan pokok lagi akan ditanam secara berperingkat di sekitar bandar raya berkenaan dan mampu menjadi pokok teduhan.

“lnisiatif ini mendapat kerjasama kerajaan negeri dan kami hargai usaha kelab terbabit memberi ilham bagi mewujudkan tarikan baharu ketika musim bunga.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami menyasarkan menanam 33,333 pokok yang dikenali sebagai pokok kertas tisu atau sakura Malaysia itu di negeri ini,” katanya pada sidang media di Dewan Bandaraya, Padang Kota Lama, hari ini.

Turut diadakan ialah simbolik penanaman pokok tekoma yang disempurnakan Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Shinichiro Kanoya; Pengarah Jabatan Khidmat Kemasyarakatan MBPP, Rashidah Jalaluddin dan Presiden Kelab Pink Hibiscus, Emi Yamazaki.

Penanaman pokok terbabit sebagai gimik kepada acara Penang Yosakoi Parade yang akan berlangsung pada 9 Mac ini.

Sementara itu, Emi berkata, penduduk Pulau Pinang terdiri daripada berbilang bangsa dan campuran budaya termasuk dari Jepun.

“Penanaman pokok itu diharap dapat memperkenalkan budaya masyarakat Jepun dengan lebih meluas,” katanya.

Pokok tekoma biasanya berbunga pada Mac hingga April setiap tahun dan bunganya yang berguguran memberi pengalaman indah seperti di Jepun atau Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 12:22 AM