Nor Amalina Alias


Bachok: Deretan pohon tekoma atau nama saintifiknya 'Tabebuia Pallida' kembali mewarnai laluan di Kampung Sungai-Kampung Teluk, di sini sejak beberapa hari lalu.

Keindahan bunga berwarna merah jambu dan putih itu menjadikan laluan ini seperti taman sakura di Jepun.

Lebih menarik, pemandangan indah ini mekar kembang di saat umat Islam menyambut Ramadan menjadikan lokasi ini tumpuan untuk orang ramai mengambil gambar khususnya di awal pagi.

Penduduk, Ramli Awang, 55 berkata, pohon itu akan berbunga setahun sekali pada musim panas dan gugur di waktu hujan.

DERETAN pokok Tekoma yang berbunga di laluan Kampung Sungai- Kampung Teluk, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
DERETAN pokok Tekoma yang berbunga di laluan Kampung Sungai- Kampung Teluk, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias

Katanya, terdapat lebih 20 pohon sakura yang ditanam di sepanjang laluan membabitkan jarak 1.5 meter di kawasan berkenaan.

"Ia ditanam berderetan di kiri dan kanan jalan, sekali gus menjadi tarikan orang ramai untuk mengambil gambar.

"Kalau nak lagi cantik, biasanya gambar diambil waktu pagi atau lewat petang," katanya ketika ditemui di sini.

Bagi Alias Badol, 59 pemandangan itu menaikkan lagi keindahan Bachok yang turut terkenal dengan Pantai Irama.

RAHANI Arifin bergambar berlatarbelakangkan deretan pohon sakura. FOTO Nor Amalina Alias
RAHANI Arifin bergambar berlatarbelakangkan deretan pohon sakura. FOTO Nor Amalina Alias

Katanya, sebelum ini dia hanya melihat gambar bunga tekoma di Bachok yang ditularkan di laman sosial dan baru pertama kali berpeluang bergambar di kawasan itu.

Difahamkan deretan pohon itu ditanam pihak Majlis Daerah Bachok sejak 11 tahun lalu bagi menambahkan keindahan landskap Bachok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 4:02 PM