ORANG ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan bersama keindahan bunga tekoma.
ORANG ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan bersama keindahan bunga tekoma.
HM Digital

INDAHNYA 'sakura' di Malaysia. Saban tahun, setiap kali musim panas dan kering antara Februari hingga Mac, beberapa kawasan di seluruh negara termasuk ibu kota bertukar wajah apabila bunga tekoma mula mekar dan menggugurkan kelopak bunga yang cantik.

Ia menjadi tumpuan ramai dan ada yang sanggup memandu dari jauh semata-mata mahu melihat sendiri selain merakam keindahan pemandangannya.

Sebelum ini, bunga tekoma banyak ditanam di negeri di utara Semenanjung seperti Kedah, namun kini semakin banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) menanam pokok itu di kawasan masing-masing.

Tekoma atau nama saintifiknya Tecoma stans adalah keluarga Bignoniaceae dari benua Amerika tumbuh subur di kawasan beriklim khatulistiwa seperti Malaysia.

Bunga yang sering dijadikan hiasan landskap itu dipercayai mula mekar selepas musim kemarau disusuli musim hujan.

Di ibu negara misalnya, inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menanam 10,300 pokok tekoma di pinggir jalan sekitar ibu kota dan taman awam kini menyajikan panorama indah untuk warga kota.

Beberapa kawasan di ibu kota kini diwarnai dengan keindahan bunga tekoma yang pelbagai warna.

Keindahan pokok tekoma boleh dilihat di jalan utama seperti di sekitar kawasan Jalan Klang Lama, Jalan Kuching, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Metroprima Kepong, Batu Caves, Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan banyak lagi.

PANORAMA indah bunga tekoma mekar di sekitar ibu kota.
PANORAMA indah bunga tekoma mekar di sekitar ibu kota.

Pokok itu menjadi pilihan untuk ditanam sebagai tanaman pinggiran jalan kerana ia berfungsi bukan sahaja sebagai pokok teduhan, malah sebagai hiasan dengan bunganya yang menarik iaitu warna merah jambu dan putih.

Selain itu, beberapa kawasan di pusat pentadbiran negara, Putrajaya juga diwarnai dengan bungaan tekoma yang pelbagai warna.

Mekarnya bunga pokok tekoma bukan sahaja mewarnai pemandangan jalan raya dan kawasan sekitarnya, malah menjadi tarikan pelbagai lapisan masyarakat berswafoto dan merakam gambar kenangan untuk dimuatkan dalam media sosial.

Di Perak, Kedah, Pulau Langkawi dan Pulau Pinang pula, pemandangan indah bunga tekoma sememangnya sudah tidak asing lagi bagi penduduk di sana.

Tiga negeri terbabit dikatakan antara yang terawal menanam pokok tekoma di negara ini.

Selain itu, di selatan tanah air, beberapa kawasan termasuk bandar raya Melaka turut diwarnai dengan bunga tekoma berwarna putih dan merah jambu cair yang menghiasi hampir semua laluan utama di negeri itu.

Bunganya yang berguguran secara tidak langsung menambah seri pemandangan hingga menarik perhatian orang ramai merakam gambar

di bawah pokok berkenaan.

Di Johor pula, beberapa kawasan di Johor Bahru, Kluang dan Gelang Patah juga dikatakan mula diwarna dengan bunga tekoma yang mekar

Panorama indah itu mampu menjadi daya tarikan pelancongan tempatan kerana ia tidak ubah seperti 'musim bunga sakura' di Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 6:32 AM