SEORANG wanita mengambil gambar  pokok tekoma yang   berbunga mekar.
SEORANG wanita mengambil gambar pokok tekoma yang berbunga mekar.
PENDUDUK sekitar membawa keluarga menikmati keindahan bunga pokok tekoma.
PENDUDUK sekitar membawa keluarga menikmati keindahan bunga pokok tekoma.
Aizat Sharif


Alor Setar: Asalnya, pokok tekoma ditanam Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) hanya sebagai pokok teduhan di tepi jalan 20 tahun lalu namun kini tumbuhan itu muncul antara tarikan unik di bandar raya ini.

Malah, sejak 2014 pengunjung melalui kawasan di Bandaraya Alor Setar terutama di Jalan Langgar, Jalan Kuala Kedah dan Jalan Gangsa pasti teruja melihat panorama indah apabila ratusan pohon tecoma di sekitar bandar raya ini mula berbunga.

Mekarnya bunga pada pokok itu terutama pada Mac dan April menyebabkan suasana tempat ia ditanam bagaikan berada di Jepun atau Korea apabila ia dihiasi dengan bunga sakura Jepun yang berguguran ketika musimnya.

Tekoma atau nama saintifiknya Tabebuia Pentaphylla berasal dari Amerika Tengah dan benua Amerika Selatan, namun di negara ini ia dikenali sebagai pohon Cherry Blossom kerana bunganya yang lebat seperti sakura Jepun.

Ketua Bahagian Landskap dan Rekreasi Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Mohd Faizal Abu Bakar berkata, pohon tekoma sering ditanam sebagai tanaman pinggiran jalan serta di taman perumahan sebagai landskap untuk mengindahkan persekitaran.

“Namun begitu, pokok itu mula menarik perhatian orang ramai terutama masyarakat di bandar raya ini sekitar 2014 apabila ketika itu Alor Setar mengalami kemarau panjang sehingga suhu mencecah 38 darjah celsius.

“Ketika itu, pokok tekoma di Bandaraya Alor Setar berbunga dengan lebatnya hingga menimbulkan suasana yang cukup indah,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, musim bunga tekoma lazimnya pada pertengahan Mac atau awal April setiap tahun namun ia bergantung kepada tahap cuaca musim kemarau di negeri ini.

“Ketahanan bunga tekoma yang berkembang pada pokok turut bergantung kepada hujan kerana lazimnya ia akan mula berbunga di penghujung musim kemarau yang menandakan musim hujan akan tiba.

“Bila hujan bunga tekoma mula berguguran sehingga panorama yang unik seperti sakura Jepun itu tidak lagi dapat dilihat,” katanya ditemui di pejabatnya di Bangunan MBAS, di sini.

Mohd Faizal berkata, panorama bunga tekoma berbunga penuh pada keseluruhan pokok sehingga tiada daun pada pokok itu dapat dilihat pada waktu cuaca sangat panas.

“Apabila berlaku cuaca panas seperti itu, ia akan menyebabkan bunga tekoma berkembang mekar melitupi keseluruhan pokok.

“Keadaan ini lazimnya berlaku sekitar Mac dan April setiap tahun kerana waktu berkenaan Alor Setar dan negeri Kedah amnya mengalami cuaca panas terik,” katanya.

Beliau berkata, keindahan bunga tekoma bukan sekadar memenuhi pokok, malah ia turut berfungsi dalam mengindahkan sesuatu kawasan sekiranya ia gugur dan bertaburan di tanah.

“Jika dilihat kepada struktur pokok tekoma ini, rupa bentuknya sebagai pohon teduhan serta saiz daunnya agak kurang menarik.

“Malah, masyarakat tidak menyedari pokok seperti tekoma ini sebenarnya sangat cantik ketika musim bunga berlangsung tidak menghasilkan sebarang aroma atau bau wangi pada kelopaknya.

“Namun ketika musim bunga, pokok ini akan menjadi tumpuan orang ramai untuk berteduh dan bergambar kerana keindahan bunganya yang menutupi keseluruhan pokok itu sehingga menghilangkan bentuk silara (rimbunan daun pada pokok) yang kurang menarik,” katanya.

Kerana keindahan pokok itu yang menjadi daya penarik kepada bandar raya berkenaan, tidak hairanlah apabila orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Alor Setar untuk melihat sendiri serta mengambil gambar keindahan panoramanya.

Selaras dengan itu juga, MBAS bekerjasama bersama kerajaan negeri dan pihak Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Negeri Kedah menyediakan program menarik dalam usaha menggalakkan pelancongan di bandar raya itu menerusi tarikan pokok tekoma.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 6:25 AM