ORANG ramai mengabadikan kenangan di bawah pohon tekoma yang mengeluarkan daun merah jambu dan putih di Taman Badar Baru Utama, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
ORANG ramai mengabadikan kenangan di bawah pohon tekoma yang mengeluarkan daun merah jambu dan putih di Taman Badar Baru Utama, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: "Tak dapat ke Jepun pun tak apa, asalkan dapat menikmati pemandangan indah seperti pokok sakura di sini.

"Walaupun tidak seratus peratus sama seperti pokok sakura negara matahari terbit, sekurang-kurangnya pemandangan di sini sama seperti yang ada di Jepun," kata Nazri Bahari, 49.

Dia dan isteri, Siti Suhaila Sufian, 47, dan anak, Nur Kasih Erina, 13, mengambil kesempatan merakam saat indah berada di bawah pohon bunga tekoma warna merah jambu dan putih di Taman Bandar Baru Utama, di sini.

Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Alor Gajah itu berkata, peluang menyaksikan keindahan pokok berkenaan seolah-olah membawa dirinya ke Jepun yang terkenal dengan keindahan pokok sakura.

"Insya-Allah satu hari nanti saya akan ke sana (Jepun) bersama isteri dan anak tetapi buat masa ini, biarlah keindahan di sini kami abadikan sebagai ganti keindahan yang di Jepun," katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, deretan pokok yang nama saintifiknya 'Tecoma stans' daripada keluarga Bignoniaceaeyang berasal dari benua Amerika mengeluarkan bunga merah jambu dan putih seperti sakura, sekali gus mengindahkan pemandangan di lokasi berkenaan.

Ia menarik kehadiran ramai penduduk Masjid Tanah dan sekitarnya untuk merakamkan keindahan bunga di pohon dan juga yang gugur ke tanah memenuhi rumput.

Mohd Qalus Nazri, 37, berkata beliau dan isteri Normaisara Mustafa, 37, serta empat anak mengambil kesempatan itu untuk merakamkan pemandangan indah di lokasi itu.

"Kami datang dari Tanjung Kling untuk ke rumah ibu isteri saya di Kampung Jeram, di sini tetapi sebaik sahaja melintas kawasan ini, kami teruja menyaksikan keindahan pokok ini.

"Anak kami ceria mengutip daun merah jambu dan putih sebelum melambungnya ke udara seolah-olah musim bunga di Jepun ada di negara kita," katanya.

Rohana Abdul Majid, 45, berkata pokok berkenaan lazimnya mengeluarkan bunga berwarna merah jambu dan putih ketika musim kering.

"Pada musim kering antara Januari hingga Mac setiap tahun, pokok di kawasan ini berwarna merah jambu dan putih, sekali gus mengundang orang ramai bergambar di sini.

"Bunga seumpama itu dijangka semakin berkurangan apabila musim hujan dijangka bermula berikutan Monsun Barat Daya yang lazimnya bertiup antara April hingga Jun, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 3:17 PM