BUNGA tekoma mewarnai Jalan Persisiran Persiaran Traulsen. FOTO Abdul Rahemang Taiming
BUNGA tekoma mewarnai Jalan Persisiran Persiaran Traulsen. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


PERSIARAN Traulsen berhampiran Jalan Pesisiran atau lebih dikenali sebagai ‘Highway’ di Tawau menjadi tumpuan pengunjung untuk menyaksikan musim bunga ‘sakura’ sejak awal minggu lalu.

Pesona warna merah jambu dan putih yang mewarnai sepanjang jalan menarik setiap mata yang memandang, seolah-olah berada di Jepun, tempat asal bunga sakura walaupun sebenarnya ia bunga tekoma.

Tinjauan mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang merakamkan gambar menarik berlatarkan pokok tekoma atau nama saintifiknya Tabebuia roseadi.

Pengunjung, Nur Alina Muhammad Abduh, 32, berkata dia bersama suami, Kamarulnizam Ramang,32, mengambil peluang dan memanfaatkan cuti hujung minggu ke Persiaran Traulsen untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan bunga berkenaan.

“Ramai kawan berkongsi gambar masing-masing di Facebook dan Instagram yang seolah-olah merasai suasana musim bunga sakura di Jepun.

“Sebelum ini pun memang ramai yang tahu kewujudan pokok bunga di sini tetapi kali ini sedikit berbeza selepas kawasan persisiran pantai dinaiktaraf menjadikan pemandangan dan landskap bertambah ceria serta menarik,” katanya.

Bagi jurugambar, Mohd Syukri Salleh, 35, berkata fenomena musim bunga itu digunakan sebaiknya terutama bagi peminat fotografi merakamkan gambar potret atau landskap selain gambar pengantin.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil berkata, fenomena setahun sekali itu kebiasaannya bermula pada penghujung Mac sehingga April.

Katanya, selain kawasan berkenaan, beberapa kawasan seperti Jalan Utara berhampiran Taman Awam Muhibbah selain jalan utama termasuk di hadapan Sabindo Plaza turut dihiasi pokok tekoma yang ditanam sejak lebih 10 tahun lalu.

“Sekarang ini juga kerja menaik taraf taman rekreasi dan kawasan sepanjang Persiaran Traulsen sedang giat dijalankan dan kita yakin apabila siap sepenuhnya kelak kawasan itu mampu menjadi tarikan baharu di daerah Tawau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 1:02 PM