GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Keputusan bedah siasat terhadap seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang dipercayai menembak diri sendiri di sebuah rumah di Jalan Selingsing di sini, Ahad lalu didapati tidak mempunyai sebarang elemen jenayah.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah tembakan di kepala.

"Tiada sebarang elemen jenayah yang dikesan berhubung kejadian ini, termasuk hasil bedah siasat yang dijalankan.

"Beberapa individu termasuk rakan serta keluarga pegawai berkenaan sudah dipanggil untuk dirakam percakapan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Polis sebelum ini menyatakan pegawai berusia 35 tahun itu disifatkan sebagai pegawai berintegriti tinggi, mempunyai prestasi kerja yang baik dan disenangi rakan.

Pegawai polis itu pernah mendapat pujian daripada kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia dan menerima surat penghargaan Ketua Polis Negara kerana menolak suapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 1:49 PM