Asisten Komisioner Jasmin Hussin. FOTO Ihsan Unit Media IPD Tawau.
Asisten Komisioner Jasmin Hussin. FOTO Ihsan Unit Media IPD Tawau.
Oleh Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Polis mengesahkan punca kematian dua beranak yang ditemukan lemas di sebuah kolam berhampiran rumah mereka di Kampung Nasib Kita, dekat sini, semalam, sebagai mati mengejut (SDR) dan bukan kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Tawau jam 10 pagi dan 12 tengah hari, hari ini.

"Hasil bedah siasat, pakar patologi mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah membabitkan kedua-dua mangsa manakala punca kematian adalah disebabkan lemas.

"Tiada sebarang kesan lebam, hirisan, tetakan dan sebagainya atau akibat perlakuan jenayah ataupun rogol," katanya pada kenyataan.

Jasmin berkata, hasil siasatan awal, Risdy Rudy, 7, dipercayai lemas di kolam terbabit sebelum ibunya, Suriani Amir, 41, cuba menyelamatkannya sebelum turut lemas.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan cerita yang tidak benar berkaitan kejadian.

Terdahulu, dua rakaman video masing-masing berdurasi 25 saat dan 37 saat berhubung kejadian itu tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 2:49 PM