MESSI menjulang trofi Copa America selepas Argentina menumbangkan Colombia. FOTO AFP
MESSI menjulang trofi Copa America selepas Argentina menumbangkan Colombia. FOTO AFP
Reuters

Miami Gardens: Juara bertahan Argentina mencipta rekod dengan memenangi gelaran Copa America ke-16 selepas menewaskan Colombia 1-0 menerusi gol masa tambahan oleh pemain gantian, Lautaro Martinez di Stadium Hard Rock sebentar tadi.

Perlawanan yang tertunda lebih daripada satu jam akibat ribuan peminat tanpa tiket cuba memasuki stadium menampilkan permainan berhati-hati selama 90 minit sebelum rancak pada masa tambahan.

Martinez, penjaring terbanyak kejohanan, menyambut bola hantaran tepat dari Giovani Lo Celso sebelum percubaannya melepasi penjaga gol Colombia, Camilo Vargas pada minit ke-112, mencetuskan sambutan meriah dalam kalangan peminat Argentina.

Gelaran terbaru Argentina ini menyusuli kejayaan mereka di Piala Dunia 2022 dan Copa America 2021, dan memberikan Lionel Messi, pemenang Ballon d'Or sebanyak lapan kali, penghormatan sempurna dan mungkin menjadi kejohanan antarabangsa terakhirnya.

Colombia memulakan perlawanan dengan memberi tekanan awal dan sepakan Jhon Cordoba mengenai tiang pada minit ketujuh sebelum Jefferson Lerma dan Richard Rios membuat percubaan jarak jauh yang diselamatkan oleh penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.

Messi kelihatan mengalami kecederaan pergelangan kaki pada minit ke-36 selepas bertembung dengan Santiago Arias walaupun dia bangun semula selepas menerima rawatan, namun ia jelas terganggu sepanjang baki separuh masa pertama.

Colombia kembali menyerang pada separuh masa kedua dengan Arias dan Davinson Sanchez hampir menjaringkan gol.

Argentina bertahan dengan baik tetapi mengalami tamparan pada minit ke-66 apabila Messi terpaksa meninggalkan padang akibat kecederaan pergelangan kaki.

Mereka terus mengembangkan permainan dan mempunyai gol yang dibatalkan kerana ofsaid tetapi Colombia berjaya bertahan sebelum perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Argentina terus menyerang pada masa tambahan, menguji Vargas dengan percubaan dari Nico Gonzalez sebelum Martinez akhirnya menemui jaringan kemenangan.

Kemenangan Argentina juga menamatkan rekod 28 perlawanan tanpa kalah Colombia, di mana kekalahan terakhir mereka juga berlaku ketika berdepan La Albiceleste pada Februari 2022.

Kejayaan itu juga menyaksikan perlawanan terakhir Angel Di Maria bersama Argentina selepas pemain berusia 36 tahun itu mengumumkan tahun lalu bahawa duia akan bersara dari bola sepak antarabangsa selepas kejohanan berkenaan, manakala pertahanan Nicolas Otamendi, 36, juga dijangka mengikut jejak langkahnya.

"Kebenarannya sudah tertulis, ia memang akan berakhir seperti ini," kata Di Maria.

"Saya mengimpikan bahawa saya akan sampai ke final dan memenanginya serta bersara dengan cara ini.

"Saya melalui perasaan yang indah dan saya amat bersyukur kepada generasi ini dan hari ini saya pergi dengan cara ini dengan satu gelaran."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 1:02 PM