Redzuan Muharam

Kajang: Demi berkongsi rezeki, Mohd Zulfaiq Ayob sanggup menjual burger daging dan ayam serendah RM2 biarpun meraih untung sedikit dan turut terkesan dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

Lebih mengagumkan hasil jualan diperoleh bukan hanya untuk kegunaannya malah dibelanjakan bagi membeli keperluan 81 kucing peliharaan di rumah selain makanan bagi diagihkan kepada haiwan jalanan di Serdang, Bangi dan sekitar bandar ini.

Niat baik Mohd Zulfaiq, 38, itu tidak mendatangkan rugi malah menarik lagi kehadiran pelanggan ke gerainya terutama selepas kisah burger RM2 terbabit tular di laman sosial.

Berkongsi kisahnya, Mohd Zulfaiq yang sudah 17 tahun menjual burger berkata, niatnya berniaga tentunya untuk mencari rezeki dan mendapatkan keuntungan, sama seperti peniaga lain.

Bagaimanapun dia enggan menggunakan alasan keadaan ekonomi semasa untuk menaikkan harga jualan kerana perlu mengambil kira golongan kurang berkemampuan yang juga ada keinginan makan burger.

Katanya, idea asal jual burger pada harga RM2 tercetus daripada isterinya Dahlia Mohd Taib, 39, dan diteruskan kerana ada permintaan sehingga kini.

"Saya jual burger kerana nampak ia makanan yang ramai orang suka dan ada peminatnya.

"Menu saya biasa saja iaitu daripada burger RM2 sehingga 'triple' dengan harga sehingga RM6.

"Buat masa ini, (harga) masih lagi relevan walaupun untung tipis dan permulaannya saya jual serendah RM1.50, kemudian naik ke RM2 yang bertahan sejak beberapa tahun lalu sudah sampai sekarang.

"Niat saya nak kongsi rezeki yang ada dalam keadaan ekonomi kritikal sekarang kerana burger memang orang cari dan jual serendah RM2 dengan harapan orang akan datang," katanya ketika ditemui di gerainya di Taman Kajang Impian, di sini.

ZULFAIQ Ayob dibantu isteri dan anak saudara, untuk menyiapkan serta membungkus pesanan pelanggan. FOTO Hazreen Mohamad
ZULFAIQ Ayob dibantu isteri dan anak saudara, untuk menyiapkan serta membungkus pesanan pelanggan. FOTO Hazreen Mohamad

Menurutnya, dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu Dahlia dan anak saudara Farha Fazana Mohd Faisal, 21, untuk menyiapkan serta membungkus pesanan pelanggan.

"Setakat ini 'okay' berniaga di sini dan jumpa dengan bermacam jenis pelanggan, cuma dua minggu lalu, ada seorang (pelanggan) hamba Allah SWT buat saya tersentuh kerana datang pesan dua burger dan minta potong lagi ke beberapa bahagian.

"Saya perhatikan anaknya empat orang, jadi saya lebihkan burger kerana saya dulu pernah susah, jadi tahu macam mana sukarnya berada di tempatnya.

"Ada juga datang dengan duit tak cukup, jadi sebagai manusia saya tentunya tak sampai hati kalau tak tolong.

"Buat masa ini, saya tak fikir beban kerana faham bukan sepanjang masa orang senang. Saya pun tak ada anak, jadi mahu kongsi rezeki dengan orang sekeliling dan kucing yang dipelihara atas pertolongan isteri.

"Alhamdulillah, rezeki yang ada cukup untuk saya buat masa ini, cuma ada segelintir kata saya bunuh harga bila letak harga rendah sedangkan semua orang boleh buat kerana jual RM1.50 pun masih ada untung," katanya.

Ditanya mengenai gerainya yang mendapat perhatian selepas tular, Mohd Zulfaiq menghargai sokongan diberikan oleh mereka yang datang membeli burger di gerainya.

"Bersyukur, tak pernah rasa (sambutan luar jangkaan) dan agak terkejut sebenarnya.

"Ia kerana awalnya iaitu dalam minggu pertama berniaga di sini agak sendu tapi saya cakap dengan orang rumah untuk terus ikhtiar.

"Tapi selepas dua bulan, rezeki kami apabila kisah gerai tular dan terima kasih kepada semua pelanggan kerana sedar atau tidak, dengan adanya mereka, saya masih di sini.

"Tak terucap dengan kata-kata dan ada rezeki nanti, saya rancang membuka cawangan di Ampang pula," katanya yang turut mencari rezeki dengan menjual roti john sejak 19 tahun lalu di bazar Ramadan di Prima Saujana, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 1:02 PM