LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Rosli Ilham


Chukai: Polis akan memanggil seorang lelaki yang juga pekebun untuk diambil keterangan berhubung kes seorang pelajar yang dilaporkan pengsan selepas termakan biskut yang dipercayai dicampur racun di sebuah kebun pisang di Kampung Air Puteh dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pekebun terbabit yang merupakan seorang warga emas berusia 70 tahun sudah dikenal pasti.

"Pihak polis akan menjalankan siasatan daripada pelbagai aspek bagi mengenal pasti punca kejadian itu berlaku," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman hari ini.

Hanyan berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti jenis racun terbabit dan pihaknya sudah menghantar sampel biskut yang ditemui di tempat kejadian ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

"Mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Kemaman," katanya

Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana cuai berkenaan benda beracun.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, Mohd Daynail Haikal Alias,13, dilaporkan pengsan selepas memakan biskut terbabit pada 1.45 tengah hari.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Sebelum itu, mangsa bersama seorang rakannya dalam perjalanan pergi memancing dan ketika melalui sebuah kebun di situ, mangsa dikatakan termakan biskut yang dipercayai beracun yang digantung di atas sebatang kayu di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 1:09 PM