DATUK Dr Shamsul Anuar Nasarah. FOTO Arkib NSTP
DATUK Dr Shamsul Anuar Nasarah. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan sedang membangunkan satu sistem biometrik menggunakan kaedah pengecaman muka bagi memudah dan melancarkan urusan kawalan sempadan negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membangunkan sistem biometrik itu dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, ia dinamakan sebagai automated biometric identification system (IBIS) sebagai sebahagian komponen projek Pembangunan dan Perolehan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

"Sistem ini dijangka sedia digunakan pada 2026," katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) sama ada KDN bercadang untuk menaiktaraf fasiliti di pintu masuk negara daripada sistem biometrik kepada sistem pengecaman muka susulan sebanyak 75 negara kini sudah menggunakan pengawasan AI.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, penggunaan teknologi di amat penting dalam mempertingkatkan kawalan keselamatan sempadan negara.

Katanya, ini memandangkan penugasan kawalan sempadan negara menjadi semakin kompleks dan dinamik.

"Susulan ancaman keselamatan jenayah rentas sempadan, pencerobohan pihak asing ke wilayah negara dan risiko penyeludupan barang di sempadan oleh demikian, KDN sentiasa meneroka penggunaan teknologi baru serta inovasi terkini.

"Ia sejajar perkembangan teknologi semasa dalam penugasan agensi keselamatan kawalan sempadan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 12:51 PM