ANTARA kenderaan yang terbakar di PPR Intan Baiduri, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA kenderaan yang terbakar di PPR Intan Baiduri, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kebakaran 52 kenderaan di kawasan parkir sebuah blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kedua-dua suspek ditahan pada jam 2.30 petang dan 6.30 petang hari yang sama.

"Suspek berusia 31 dan 39 tahun ditahan di PPR Intan Baiduri dipercayai mempunyai kaitan berhubung kes kebakaran berkenaan.

"Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang lagi negatif ujian terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit adalah warga tempatan dan penghuni PPR terbabit.

"Permohonan reman sedang dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung kejadian dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api," katanya.

Semalam, 52 kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir sebuah blok di PPR Intan Baiduri, di sini, musnah dalam kebakaran.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.22 pagi.

Berita berkaitan:

  • Motosikal cari rezeki musnah
  • 52 kenderaan terbakar, polis siasat kemungkinan elemen khianat
  • 50 motosikal, 4 kereta musnah terbakar
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 11:07 AM