GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Seremban: Seorang lelaki ditemukan rentung di dalam kereta dipandunya yang terbabas sebelum terbakar di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Balai Undang Sungai Ujong, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai memandu sendirian dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah ketika nahas berlaku jam 4.50 pagi.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, Proton Saga dipandu mangsa disyaki hilang kawalan sebelum terbabas ke pembahagi tengah jalan dan melanggar tiang lampu.

"Akibat pelanggaran yang kuat itu, kereta mangsa mengalami kerosakan yang teruk di bahagian hadapan sehingga menyebabkan dia tersepit dan gagal keluar daripada kereta sebelum kenderaan terbakar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nanda berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk bedah siasat.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 11:05 AM