KERATAN laporan Harian Metro pada 2021.
KERATAN laporan Harian Metro pada 2021.
Ahmad Hasbi


Seremban: Lelaki yang pernah mencuri tumpuan penduduk di daerah ini dengan baju Jalur Gemilang dan hiasan motosikalnya yang pernah disiarkan di Harian Metro, Jamaluddin Malek, 72, maut dalam kemalangan, petang tadi.

Kejadian berhampiran Balai Polis Paroi, Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini, kira-kira jam 3 petang itu membabitkan Jamaluddin yang menunggang motosikal serta dua kereta.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Hatta Che Din berkata, mangsa parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

"Berlaku satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan dua kereta di Jalan Seremban-Kuala Pilah, petang tadi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Preve yang dipandu seorang lelaki berumur 32 tahun dari arah Seremban menuju ke Kuala Pilah yang berada di lorong kanan tiba-tiba menghimpit ke kiri.

"Kemudian Proton Preve itu melanggar bahagian pintu pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berumur 33 tahun di lorong tengah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, Perodua Myvi dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke kiri sebelum melanggar motosikal Modenas Kriss yang ditunggang mangsa di lorong kiri.

"Penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan maut di lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah di talian 0162895801 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Harian Metro pada Ogos 2021 pernah menyiarkan kisah lelaki yang lebih dikenali sebagai Din Katak mengekspresikan semangat patriotisme terhadap negara setiap kali menjelang bulan kemerdekaan.

Sejak 15 tahun lalu, Jamaluddin dengan semangat kecintaannya kepada negara akan menghias motosikalnya dengan Jalur Gemilang dan menempah baju Melayu khas berkonsepkan bendera Malaysia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 10:30 PM