Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Seremban-Kuala Pilah lewat malam tadi. Foto ihsan bomba.
Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Seremban-Kuala Pilah lewat malam tadi. Foto ihsan bomba.
Ahmad Hasbi

Seremban: Wanita maut selepas kereta dipandu bertembung pacuan empat roda (4x4) di Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini, malam tadi.

Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian pada 11.05 malam itu menyebabkan mangsa, Nurfurqan Norazmi, 22, dari Felda Serting Hilir 4, Jempol meninggal dunia di lokasi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa memandu Perodua Viva sendirian dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah, sebelum Mitsubishi Triton dipandu lelaki 34 tahun dari arah bertentangan hilang kawalan dan memasuki laluan mangsa.

"Akibatnya berlaku pertembungan dan dua kenderaan itu remuk di hadapan, menyebabkan pemandu masing-masing tersepit

"Mangsa meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu pacuan empat roda cedera di kaki. Mereka dikeluarkan anggota bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanda berkata, mayat pemandu wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Katanya, pemandu lelaki yang cedera dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 12:07 PM