GAJAH yang ditemukan mati di tepi jalan di Kampung Pinang, pagi semalam. FOTO Ihsan Pembaca
GAJAH yang ditemukan mati di tepi jalan di Kampung Pinang, pagi semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Gajah betina yang ditemui di tepi Jalan Empangan Pedu, berdekatan Kampung Pinang, Pedu, Padang Terap semalam, dipercayai mati akibat termakan baja atau racun tumbuhan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, sampel gajah berusia 20 tahun itu sudah diambil pegawai forensik bagi dibawa ke makmal di Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

"Punca sebenar kematian mamalia itu akan mengambil sedikit masa. Setakat ini kita mengesyaki punca haiwan liar itu mati akibat termakan baja atau racun tumbuhan yang terdapat di kawasan itu.

"Ini kerana pernah berlaku tahun lalu seekor anak gajah turut mati akibat termakan baja tumbuhan di kawasan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jamalul Nasir berkata, gajah dianggar seberat dua tan itu sudah ditanam di lokasi berdekatan menggunakan jentolak kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya turut menasihatkan petani yang mengusahakan tanaman sekitar kawasan itu agar menyimpan baja atau racun tumbuhan di tempat yang selamat daripada haiwan.

"Hutan Pedu adalah kawasan habitat gajah dan sudah pasti haiwan itu akan berkeliaran di kawasan berdekatan. Justeru petani yang mengusahakan tanaman perlu menyimpan baja dan racun di dalam stor.

"Saya difahamkan ada petani yang menyimpan racun atau baja hanya di bawah pokok sahaja, ia memberi risiko kepada gajah yang berkeliaran di kawasan itu termakan bahan input pertanian berkenaan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Bangkai gajah betina 'terduduk' di tepi jalan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 3:55 PM