Hamzah Osman


Langkawi: Sebanyak 80 burung ditemui mati bergelimpangan di Taman Wawasan Indah, di sini, sejak dua hari lalu, dipercayai akibat diracun.

Difahamkan, bangkai burung ciak rumah dan tekukur itu mula ditemui penduduk yang mendiami kawasan perumahan itu pada 6 petang Ahad lalu.

Penduduk, Shahrizan Saad, 39, berkata, kejadian itu kali pertama berlaku sejak lima tahun dia dan keluarga menetap di taman perumahan itu.

"Taman perumahan ini berada berdekatan sawah padi dan sekarang musim petani menabur benih padi dalam petak sawah.

"Burung mati disyaki termakan padi dicampur racun Furadan iaitu racun untuk membunuh serangga perosak," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Shahrizan berkata, kebanyakan burung ditemui mati di atas pokok, pagar dan bumbung rumah penduduk, selain di atas batas sawah berhampiran.

"Saya sempat selamatkan seekor burung yang sudah ternganga akibat termakan padi beracun dengan memberi minum dan mandi, sebelum ia terbang semula setengah jam kemudian.

"Memang tak patut untuk sesiapa pun meracun burung, kerana burung ini makan tak banyak dan sebelum ini padi tumbuh dengan elok setiap musim," katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hidupan Liar, Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Langkawi, Mohd Nazri Amran berkata, pihaknya ada menerima aduan awam dan tampil membuat siasatan berkaitan kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati kebanyakan burung ditemui mati adalah ciak rumah atau nama saintifik Passier montanus, selain seekor terkukur.

"Kesemua burung itu tidak termasuk dalam kategori haiwan dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

SHAHRIZAN (kiri) menunjukkan sebahagian bangkai burung kepada Mohd Nazri di Taman Wawasan Indah, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
SHAHRIZAN (kiri) menunjukkan sebahagian bangkai burung kepada Mohd Nazri di Taman Wawasan Indah, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 11:25 AM