Mary Victoria Dass


DIRACUN! Itulah punca kematian tiga gajah di Kampung Sri Timur 3, Kluang semalam.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat awal yang dijalankan ke atas haiwan itu bagi mengenal pasti punca kematian dan pihaknya tidak menolak kemungkinan berlakunya unsur jenayah.

Beliau berkata, bagaimanapun jenis racun yang dimakan masih belum diketahui kerana sampel hati dan ginjal ketiga-tiga gajah itu perlu dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis terlebih dulu.

Menurutnya, pihaknya menjangka keputusan analisis toksikologi bagi mengenal pasti jenis racun mengakibatkan tiga gajah betina itu mati akan diperoleh dalam masa tiga bulan.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati sistem pagar elektrik dikendalikan penduduk kampung itu tidak berfungsi menyebabkan gajah menceroboh ke kawasan berkenaan.

“Berdasarkan kepada saiz tapak kaki, gajah yang mati dianggarkan berusia 18, 20 dan 22 tahun serta dipercayai dari pecahan kumpulan gajah Hutan Simpan Lenggor.

“Mengikut Data Populasi Gajah Jabatan Perhilitan, terdapat lima kumpulan besar utama gajah di Johor iaitu Jemaluang (20-30 gajah), Panti (30-40 gajah), Labis (5-15 gajah), Tenggara (25-30 gajah) dan Taman Negeri (kurang daripada 45 gajah),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, berikutan kematian tiga gajah itu Jabatan Perhilitan kini berusaha mengesan baki dua gajah dipercayai masih berkeliaran di kawasan itu bagi menjalankan usaha menyelamat.

Katanya, Jabatan Perhilitan bekerjasama dengan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) untuk mensyaratkan pemasangan pagar elektrik di kawasan perladangan kelapa sawit berhampiran sempadan kawasan hutan simpan bagi mengelak kawasan perladangan atau perkampungan diganggu gajah liar.

“Kementerian menggesa semua pihak menyalurkan maklumat kepada Jabatan Perhilitan di talian 1-800-88-5151 jika ada maklumat mengenai kes kematian tiga ekor gajah terbabit.

“Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes kematian gajah itu sehingga proses siasatan selesai,” katanya.

Kematian tiga ekor gajah itu tular dalam media sosial selepas bangkai haiwan itu ditemui bergelimpangan di kampung berkenaan.

Berita berkaitan

3 gajah mati disyaki diracun

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 7:06 PM