Anggota BBP Sik menyembur air kepada gajah liar yang baru ditangkap  untuk mengelak dehidrasi akibat cuaca panas yang melanda ketika ini. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota BBP Sik menyembur air kepada gajah liar yang baru ditangkap untuk mengelak dehidrasi akibat cuaca panas yang melanda ketika ini. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Sik: Selain manusia, hidupan liar juga tidak terkecuali merasai kesan akibat perubahan cuaca panas yang melanda ketika ini.

Berikutan itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik dipanggil untuk membantu menyembur air terhadap empat gajah untuk mengelak dari dehidrasi akibat cuaca panas.

Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya melakukan khidmat khas menyembur air terhadap kesemua gajah berkenaan sebelum dua gajah liar itu dipindahkan ke hutan simpan oleh pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sik.

Beliau berkata, operasi menyambur air dilakukan lebih satu jam bermula 1 petang hingga 2.30 petang.

"Dua daripada empat gajah berkenaan adalah gajah liar dan dua daripadanya adalah gajah betina (denak).

"Khidmat kami (bomba) bukan saja memadam kebakaran ketika musim cuaca panas ini tetapi turut melakukan khidmat menyembur air terhadap gajah itu di Pejabat Perhilitan Daerah Sik dan MADA Resort Sik," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim ketika dihubungi berkata, dua gajah liar itu ditangkap di dua daerah berasingan di Sik dan Padang Terap kerana merosakkan tanaman penduduk berhampiran.

Beliau berkata, gajah jantan itu ditangkap di Belantik, Sik dua hari lalu manakala seekor lagi ditangkap di Pedu daerah Padang Terap, semalam.

"Mereka dipercayai keluar dari hutan kerana kelaparan dan dipercayai mencari sumber makanan.

"Dua ekor gajah liar itu kemudian dilepaskan di kawasan hutan yang lebih luas dan selesa, hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 6:29 PM