BEBERAPA kawasan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dinaiki air susulan hujan lebat. FOTO ihsan Bomba
BEBERAPA kawasan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dinaiki air susulan hujan lebat. FOTO ihsan Bomba
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Beberapa kawasan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dekat sini sekali lagi dinaiki air susulan hujan lebat, kira-kira 3 petang tadi.

Bagaimanapun, difahamkan limpahan air berlaku berikutan longkang yang tersumbat sehingga menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir dengan lancar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis memaklumkan ketika tinjauan dilakukan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam mendapati limpahan air berlaku berdekatan kolam kumbahan berhampiran sebuah pangsapuri.

"Jalan berkenaan masih boleh dilalui kenderaan dan air melimpah berkemungkinan akibat longkang yang tersumbat.

"Tinjauan juga mendapati air sudah mula surut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu satu rakaman tular di Twitter menunjukkan kenaikan air di sebuah jalan di kawasan Taman Sri Muda bagaimanapun ia masih boleh dilalui kenderaan.

Pada Disember tahun lalu, kawasan Taman Sri Muda antara yang terkesan teruk akibat banjir yang menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Banjir yang tidak dijangka itu dikatakan berpunca daripada hujan lebat luar biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 6:18 PM