BEBERAPA kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang turun sekitar jam 3 petang hari ini. FOTO Ihsan pembaca
BEBERAPA kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang turun sekitar jam 3 petang hari ini. FOTO Ihsan pembaca
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menasihatkan penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dekat sini untuk meletakkan kenderaan masing-masing di tempat tinggi susulan beberapa kawasan di sekitar daerah ini dilanda banjir kilat.

Berdasarkan hantaran ringkas di Facebook rasmi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu membuka tempat letak kenderaan bertingkat di Pasar Moden Sri Muda untuk orang ramai meletakkan kenderaan.

"Sebarang kecemasan atau bantuan segera akibat banjir di Shah Alam, sila hubungi pasukan PANTAS di talian 03-55105811," katanya.

Dalam pada itu, mengikut Notis Kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), beberapa kawasan di negeri berisiko dilanda banjir kilat sekiranya hujan lebat dan ribut petir yang signifikan.

Kawasan-kawasan berkenaan adalah Taman Mesra dan Seksyen 13, Shah Alam, Lebuhraya Besraya, Kompleks Jabatan Pertanian Serdang, Sri Kembangan bagi daerah Petaling dan Kampung Rantau Panjang bagi daerah Kuala Selangor.

Daerah Gombak membabitkan Kampung Sungai Kertas, Jalan 11C Selayang Baru, Jalan 21,23 & 62 Selayang Baru, Kampung India Settlement, Taman Sri Selayang, Jalan 23 21 & 62 Selayang Baru, Persimpangan Bukit Botak, Jalan Laksamana 10 Selayang.

Terdahulu, media melaporkan longkang tersumbat dipercayai menjadi punca beberapa kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang turun sekitar jam 3 petang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata berdasarkan pemantauan yang dilakukan anggotanya, beberapa kawasan dilanda banjir kilat antaranya, Kota Kemuning, Seksyen 17 ke Seksyen 24 dan Bukit Naga.

Beberapa rakaman video serta gambar banjir kilat dimuat naik pengguna media sosial yang memaparkan limpahan air di atas jalan raya serta beberapa rumah terkesan akibat insiden berkenaan.

Berdasarkan pemantauan di laman Twitter, pengguna aplikasi itu turut melaporkan berlaku banjir kilat di Kampung Sungai Kandis; Alam Impian, Bukit Jelutong, Seksyen 32 dan Seksyen 36.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 9:14 PM