Norzamira Che Noh

Shah Alam: Walaupun tragedi banjir besar sudah sebulan berlalu namun penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, masih dihantui ketakutan dan trauma setiap kali hujan lebat melanda kawasan itu.

Kelmarin, kawasan itu terutamanya Jalan Tokoh 25/28 dilanda banjir kilat sehingga ada penduduk yang membuat keputusan berpindah akibat bimbang insiden pada penghujung tahun lalu berulang kembali.

Salah seorang penduduk, Sokappan Ramasamy, 71, memaklumkan hujan lebat kelmarin hampir menyebabkan rumahnya dimasuki air sekali lagi.

"Ketika hujan lebat semalam, saya sudah bimbang apabila air longkang melimpah ke jalan.

"Saya dan isteri sudah bersiap sedia membawa barang keperluan seperti makanan, ubat dan lain-lain ke tingkat atas rumah kerana khuatir banjir besar akan berulang.

"Bagaimanapun saya bersyukur apabila ia hanyalah banjir kilat dan banjir tidak sampai memasuki rumah," katanya.

Beliau yang sudah 20 tahun menetap di situ memaklumkan banjir berkenaan surut sekitar jam 7 petang.

Kamalia menunjukkan keadaan longkang selepas dilanda banjir susulan hujan lebat petang semalam. FOTO FAIZ ANUAR
Kamalia menunjukkan keadaan longkang selepas dilanda banjir susulan hujan lebat petang semalam. FOTO FAIZ ANUAR

Bagi Kamalia Emansah, 41, langit gelap serta guruh juga boleh membuatkannya gelisah kerana bimbang banjir besar boleh berulang.

"Kerugian akibat banjir sebelum ini pun masih tidak dapat kami anggarkan. Justeru limpahan air yang berlaku semalam memang agak mencemaskan kami yang baru sahaja selesai melakukan kerja pembersihan pasca banjir.

"Syukur, banjir itu surut dengan cepat dan saya perasan hujan hanya sekejap saja tapi air di longkang sudah penuh.

"Longkang perlu kerap dibersihkan kerana bukan sahaja sampah tetapi turut dipenuhi pasir sehingga menyebabkan air cepat penuh walaupun hujan hanya sekejap," katanya.

Kelmarin, beberapa kawasan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dekat sini, sekali lagi dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda sekitar jam 3 petang.

Bagaimanapun, difahamkan limpahan air berlaku berikutan longkang yang tersumbat sehingga menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir dengan lancar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis memaklumkan ketika tinjauan dilakukan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam mendapati limpahan air berlaku berdekatan kolam kumbahan berhampiran sebuah pangsapuri.

Pada Disember tahun lalu, kawasan Taman Sri Muda antara yang terkesan teruk akibat banjir yang menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). '

Banjir yang tidak dijangka itu dikatakan berpunca daripada hujan lebat luar biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 4:43 PM