Kawasan sekitar Bandar Seremban yang dilanda banjir kilat. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Kawasan sekitar Bandar Seremban yang dilanda banjir kilat. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


HUJAN lebat lebih tiga jam sejak 3 petang hari ini menyebabkan beberapa kawasan di Seremban termasuk tempat letak kereta bangunan Wisma UMNO dilanda banjir kilat.

Selain Wisma UMNO, kawasan lain yang dinaiki air ialah Jalan Tuanku Munawir, Jalan Dato Bandar Tunggal, Taman Mutiara Galla, Taman Sri Pulasan, Jalan Labu dan Jalan Mantin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohamad Idris berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan air melimpah dan bertakung di sekitar pusat bandar berhampiran Wisma UMNO.

Menurutnya, seramai 11 pegawai serta anggota termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang menjalankan pemantauan di lokasi sejurus menerima panggilan, kira-kira 6 petang ini.

"Berdasarkan maklumat awal, ada mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan akibat banjir kilat. Namun, ketika pasukan bomba tiba, kita difahamkan kenderaan terbabit sudah berjaya dialihkan.

"Banjir sudah kembali surut tidak lama kemudian selepas hujan mulai berhenti. Bagaimanapun, kita meneruskan operasi menyedut air yang bertakung bagi membolehkan laluan ini dilalui kenderaan dan selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, terdapat lima rumah di Taman Mutiara Galla dimasuki air sedalam 0.5 meter berikutan hujan lebat dan longkang tersumbat menyebabkan air bertakung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 7:45 PM