ANTARA penempatan penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Shah Alam. FOTO Ihsan Pembaca
ANTARA penempatan penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Shah Alam. FOTO Ihsan Pembaca
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Longkang tersumbat dipercayai menjadi punca beberapa kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak 3 petang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan anggotanya, beberapa kawasan dilanda banjir kilat antaranya, Kota Kemuning; Seksyen 17 ke Seksyen 24 dan Bukit Naga.

"Jalan di kawasan perumahan Bukit Naga dinaiki air sehingga ke paras lutut dipercayai akibat longkang tersumbat.

"Jalan Kota Kemuning dan Seksyen 17 ke Seksyen 24 juga dinaiki air juga berpunca dari longkang tersumbat, bagaimanapun tiada risiko banjir dilaporkan.

"Bomba turut memantau beberapa jalan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 iaitu Jalan Waja 25/1; Jalan Mahir; Jalan Makmur; Jalan Harapan dan mendapati tiada risiko banjir. Pam Kunci Air juga beroperasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beberapa rakaman video serta gambar banjir kilat dimuat naik pengguna media sosial yang memaparkan limpahan air di atas jalan raya serta beberapa rumah terkesan akibat insiden berkenaan.

Berdasarkan pemantauan di laman Twitter, pengguna aplikasi itu turut melaporkan berlaku banjir kilat di Kampung Sungai Kandis; Alam Impian; Bukit Jelutong; Seksyen 32 dan Seksyen 36.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 7:59 PM