Shamsul Iskandar Md Akin
Shamsul Iskandar Md Akin
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menempelak Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shamsul Iskandar Md Akin, berhubung tindakannya mempertikaikan keupayaan Universiti Putra Malaysia (UPM) melahirkan hampir 400 graduan Doktor Falsafah (PhD) setahun, baru-baru ini.

Ketua Penerangan AMK Sabah Razeef Rakimin berkata, perbuatan Shamsul Iskandar itu jelas mempertikaikan kemampuan mahasiswa dan pensyarah di UPM yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Beliau juga tidak faham mengapa Shamsul Iskandar mempersoalkan kemampuan UPM melahirkan 398 graduan PhD itu sedangkan ia adalah perkara yang baik dan sepatutnya diberikan sokongan.

"Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin yang mempersoalkan kemampuan UPM melahirkan 400 graduan PhD dalam tempoh setahun.

"Tindakan ini seolah-olah mempertikai kemampuan graduan itu sendiri yang selama ini berusaha keras untuk mencapai cita-cita memiliki PhD," katanya pada kenyataan.

Razeef berkata, jika diteliti berdasarkan rekod sebelum ini, jumlah graduan PhD UPM pada 2018 adalah 630 manakala pada 2019 terdapat 632 graduan.

Ia jelas menunjukkan jumlah yang lebih ramai berbanding graduan bagi 2020 dan 2021.

"Namun, konvokesyen baru-baru ini walaupun untuk pengajian tamat 2020 dan 2021 yang terbantut akibat pandemik Covid-19, 398 graduan lulus.

"Beliau (Shamsul Iskandar) juga merujuk kepada universiti terbaik luar negara yang didakwa hanya mampu melahirkan 20 graduan PhD setahun sedangkan pada 2021, Harvard University menganugerahi 572 PhD dan itu hanya di fakulti Sains Seni, tidak termasuk fakulti lain seperti 594 'Doctor Of Law' dan lain-lain fakulti.

"Selain itu, Stanford University menganugerahi 770 Ijazah Kedoktoran pada 2020 dan Massachusetts Institut Of Technology (MIT) menganugerahi sehingga 682 PhD setahun," katanya.

Razeef berkata, begitu juga beberapa universiti tempatan seperti Universiti Malaya (UM) yang melahirkan 503 graduan PhD pada 2018, Universiti Sains Malaysia (528), Universiti Kebangsaan Malaysia (530), Universiti Teknologi Malaysia (510) dan Universiti Utara Malaysia (341).

Sehubungan itu, Razeef menasihati Shamsul Iskandar supaya tidak menjadikan perkara itu sebagai isu sebaliknya mencari isu lain, khususnya berkaitan masalah yang dihadapi rakyat.

"Saya ingin menasihati Shamsul, jika ingin menjadi jaguh isu, carilah isu yang berkaitan masalah rakyat dan negara pada hari ini.

"Mempersoal kemampuan UPM melahirkan 400 graduan PhD setahun seolah-olah mempertikai kemampuan mahasiswa itu sendiri yang berusaha untuk mendapatkan PhD selain mempertikai kemampuan pensyarah termasuk universiti berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 12:41 PM