Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan Ahi Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mahu membatalkan pertuduhan menyertai perhimpunan 'Blackout 505' di perkarangan masjid.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan bahawa Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) sudah menetapkan larangan untuk berhimpunan di tempat ibadah dalam jarak 50 meter.

Oleh itu katanya, pertuduhan terhadap Shamsul Iskandar adalah mengikut perlembagaan.

Pada 31 Mac 2014, Shamsul Iskandar yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengemukakan permohonan itu mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah cacat, defektif dan tidak menepati kehendak-kehendak tempat larangan, selain ia adalah satu penyalahgunaan proses dan mempersenda keadilan.

Pada 5 Ogos 2013, Shamsul Iskandar; Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, 36, dan Mohd Nazree Mohd Yunus, 29, mengaku tidak bersalah menyertai perhimpunan di tempat larangan iaitu dalam pekarangan Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya di sini antara 12 tengah hari dan 1.15 tengah hari pada 22 Jun 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 3:04 PM