Dr Aini (tengah) bergambar bersama pengurusan tertinggi UPM dan graduan selepas sidang media Majlis Konvokesyen Ke-43 UPM. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Dr Aini (tengah) bergambar bersama pengurusan tertinggi UPM dan graduan selepas sidang media Majlis Konvokesyen Ke-43 UPM. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohamad Hussin


SERAMAI 6,015 graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menerima ijazah dan diploma masing-masing sempena Majlis Konvokesyen ke-43 universiti itu.

Ia berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) mulai Sabtu ini hingga 19 November ini.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Aini Ideris berkata, jumlah itu membabitkan penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) seramai 632 graduan, Ijazah Sarjana (1,554), Ijazah Sarjana Muda (3,337) dan Diploma (492).

Beliau berkata, Tuanku Canselor UPM Sultan Sharafuddin Idris Shah akan mengurniakan PhD, sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma kepada graduan pada hari pertama konvokesyen, Sabtu ini.

“UPM berbesar hati mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes pada sesi pertama atas sumbangan beliau kepada universiti ini.

“Penerima Anugerah Gelaran Profesor Emeritus dikurniakan kepada Tan Sri Dr Nik Mustapha R Abdullah (calon Fakulti Ekonomi dan Pengurusan serta Datuk Dr Mohd Sham Kasim (calon Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan) pada sesi pertama.

“Selain itu, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Baharumshah (calon Fakulti Ekonomi dan Pengurusan), Prof Dr Maimunah Ismail (calon Fakulti Pengajian Pendidikan) serta Prof Ir Dr Wan Ishak Wan Ismail (calon Fakulti Kejuruteraan) pada sesi ketiga,” katanya pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen ke-43 UPM di Serdang hari ini.

Aini berkata, Tuanku Canselor berkenan mengurniakan Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Aida Fitri Peli (Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan) Fakulti Kejuruteraan dan Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) kepada Nor Elina Che Hashim (Ijazah Sarjana Muda Sains, Pembangunan Manusia) Fakulti Ekologi Manusia.

“Anugerah Pelajaran Diraja (bukan Bumiputera) kepada Tey Wan Jin (Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi) Fakulti Sains manakala Pingat Emas Alumni kepada Raja Aiman Hakim Raja Mahmood (program Doktor Perubatan Veterinar) Fakulti Perubatan Veterinar.

“Pingat Emas Yayasan Pak Rashid kepada Alyssa Batrisyia Zainal Abidin (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan) Fakulti Pengajian Pendidikan manakala Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr Rashdan Baba kepada Muhammad Nor Nazhan Muhammad Azzim Tamothiran (Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Alam Sekitar).

“Pingat Putra Agribio kepada Tan Sok Hui (Ijazah Sarjana Muda Sains Taman dan Rekreasi) Fakulti Perhutanan, Pingat Razlan Putra kepada Raja Norsharina Raja Shabuddin (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan) Fakulti Pengajian Pendidikan manakala Anugerah Keusahawanan Siswa UPM kepada Noorazeaty Maulad Mohd Khalif (Ijazah Sarjana Muda Sains),” katanya.

Menurutnya, UPM turut memperkenalkan anugerah baharu iaitu Anugerah Tun Abdul Razak kepada Thiresyinie Tamil Chelvam (Ijazah Sarjana Muda Sains) dan Pingat Emas BasNet Doktor Falsafah kepada Dr Muhammad Najib Samad (PhD Ekonomi Perniagaan).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 3:21 PM