Anwar Ibrahim menang jawatan tanpa bertanding.
Anwar Ibrahim menang jawatan tanpa bertanding.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menepati ramalan kekal mempertahankan kerusi Presiden PKR bagi tempoh 2022-2025 apabila menang tanpa bertanding jawatan itu pada pemilihan PKR 2022.

Mengesahkan perkara berkenaan, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini merupakan satu penghormatan terbesar daripada akar umbi parti.

"Mengulangi sejarah Pemilihan Keadilan 2018, saudara Anwar sekali lagi menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini. Saya dengan penuh takzim mengucapkan tahniah kepada saudara @anwaribrahim," katanya dalam satu ciapan dalam akaun Twitternya hari ini.

Sehingga jam 11.59 malam tadi, apabila proses pencalonan ditutup, Anwar merupakan satu-satunya calon yang menamakan diri bagi jawatan berkenaan.

Proses pencalonan pemilihan PKR 2022 bermula Jumaat lalu sehingga Ahad bagi peringkat cabang manakala bagi jawatan tertinggi, proses pencalonan dilaksanakan semalam.

Sementara itu, sehingga proses pencalonan ditutup pada tengah malam tadi, 18 calon menawarkan diri mereka bagi jawatan Naib Presiden, berbanding 17 calon setakat petang semalam bagi merebut empat kerusi jawatan itu.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin merupakan calon ke-18 yang menghantar borang pencalonan melalui aplikasi ADIL.

Ketika mengesahkannya kepada Bernama, Shamsul Iskandar berkata, perlu ada keseimbangan jawatan Naib Presiden antara muka baharu dan muka lama memandangkan pemilihan pada kali ini akan berdepan tugas berat menghadapi PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Jadi pasukan yang akan menang nanti mesti dilihat sebagai sebuah pasukan yang bekerja, dan dalam masa yang sama, ia mesti diadun antara (individu) yang lama dengan yang baharu.

"Yang pernah menjadi Naib Presiden (sebelum ini) adalah saya dan Fuziah (Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh). Yang (calon baharu) belum ada (pengalaman). Kawan-kawan yang menang nanti akan bekerja membantu Presiden dan Timbalan Presiden untuk menangkan parti (pada PRU15)," katanya.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti PKR (JPP) Dr Zaliha Mustafa berkata, bagi jawatan Timbalan Presiden, kekal dua calon sehingga proses pencalonan ditutup tengah malam tadi.

Mereka ialah Rafizi Ramli dan Saifuddin manakala bagi bagi jawatan Ketua Wanita dan Ketua AMK masing-masing menyaksikan dua pencalonan. Ahli Dewan Negara Fadhlina Sidek dan Ketua Wanita PKR Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail, menawarkan diri untuk jawatan Ketua Wanita PKR.

Sementara jawatan Ketua AMK menyaksikan dua bekas aktivis mahasiswa menawarkan diri iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Faizol.

"Kita juga melanjutkan pencalonan bagi peringkat cabang bermula semalam sehingga 11.59 malam ini, antaranya kerana calon termasuk pencadang dan penyokong masih mempunyai isu dengan verifikasi dalam aplikasi ADIL," katanya Dr Zaliha.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 2:51 PM