NIK Nazmi ketika sidang media di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli
NIK Nazmi ketika sidang media di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Ahmad Suhael Adnan


AHLI Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang disandangnya pada pemilihan PKR, hujung bulan depan.

Menurutnya, ia berikutan perlembagaan PKR tidak membenarkan mereka berusia 35 tahun dan ke atas untuk bertanding bagi jawatan ketua sayap parti itu.

Katanya, berikutan itu beliau sedang mempertimbangkan beberapa pilihan, termasuk sama ada bertanding atau tidak pada pemilihan PKR nanti.

“Saya terlalu tua. Tidak seperti parti lain, tiada pengecualian dalam PKR. Apabila berusia 35 tahun dan ke atas, anda tidak boleh lagi bertanding sayap AMK.

“Saya sedang mempertimbangkan beberapa pilihan yang ada dengan berbincang dengan rakan di dalam dan luar AMK,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya sama ada jawatan Naib Presiden antara yang disasarkan, Nik Nazmi berkata, sejarah membuktikan tiada laluan khusus bagi penyandang Ketua AMK dalam merebut jawatan dalam parti, selain beliau belum memutuskan untuk bertanding.

“Dalam PKR, Ketua AMK pertama Ezam (Datuk Mohd Ezam Mohd Nor) tidak bertanding (jawatan tertinggi) selepas meninggalkan jawatan itu, sebaliknya menjadi Timbalan Pengerusi PKR Selangor.

“Shamsul (bekas Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin) bertanding Naib Presiden dan menang. Dalam UMNO pula contohnya, Khairy (Khairy Jamaluddin) bertanding Presiden,” katanya.

Pemilihan PKR akan bermula dengan penamaan calon pada 27 Julai hingga 29 Julai ini, sebelum pengundian selama sembilan minggu bermula 24 Ogos, dan keputusan akan diumumkan ketika Kongres Nasional PKR pada November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 8:57 PM