Siti Rohana Idris


Tumpat: Wanita maut digilis tayar belakang sebuah lori pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas motosikal ditunggangnya bergesel sebelum terjatuh di Kampung Kubang Labu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 8.40 pagi, mangsa Nurulsyahirah M Roni, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda Beat dalam perjalanan ke tempat kerja di Kota Bharu, manakala lori terbabit menghala ke bulatan Pasir Pekan untuk menyiram pokok.

ANGGOTA polis memeriksa seorang wanita maut digilis tayar belakang sebuah lori pihak berkuasa tempatan selepas motosikal yang ditunggangnya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA polis memeriksa seorang wanita maut digilis tayar belakang sebuah lori pihak berkuasa tempatan selepas motosikal yang ditunggangnya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa bergesel dengan bahagian belakang sebelah kiri lori dan terjatuh sebelum digilis tayar belakang.

"Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Wakaf Bharu," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, waris mangsa, Mohd Haridan Ab Ghani, 52, ketika ditemui berkata, dia kebetulan melalui jalan itu sebelum ternampak kemalangan tanpa mengetahui mangsa adalah sanak saudaranya.

"Sebaik ternampak kad pengenalan yang dipegang polis dan membacakan alamat yang tertera, saya meminta izin melihat maklumat dengan teliti sebelum mengesahkan mangsa adalah waris saya.

"Saya kemudian menghubungi ahli keluarga bagi memaklumkan khabar sedih itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 6:07 PM