MD Salah@Md Salleh maut akibat digilis tayar belakang lori. FOTO Ihsan Polis.
MD Salah@Md Salleh maut akibat digilis tayar belakang lori. FOTO Ihsan Polis.
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Lelaki warga emas maut selepas terjatuh daripada motosikalnya yang bergesel dengan sebuah lori sebelum digilis kenderaan berat itu.

Dalam kejadian di Kampung Kemumin Panchor di sini, pada 10.30 pagi hari ini, Md Salah@Md Salleh Omar, 69, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, lori itu dari arah Panchor ke Panji dan sebaik sampai di lokasi kemalangan, kenderaan itu dipandu secara perlahan.

"Pemandu lori itu kemudiannya berhenti sebentar untuk memberi laluan kepada sebuah bas yang datang dari arah bertentangan untuk masuk ke sebuah lorong di sebelah kiri laluan.

"Ketika meneruskan semula perjalanan, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego Solariz datang dari arah sama cuba memotong lori itu di laluan kiri jalan dan dipercayai bergesel di bahagian sisi kiri belakang lori.

"Mangsa kemudian terjatuh sebelum digilis tayar belakang kiri lori serta disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pihak Perubatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Chepa, Sering kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

Beliau juga meminta sesiapa yang menyaksikan kemalangan itu supaya tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu atau menghubungi talian 09-7752200 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 4:30 PM