PEMANDANGAN melalui udara menunjukkan keadaan cuaca cerah di bandar Kota Bharu.
PEMANDANGAN melalui udara menunjukkan keadaan cuaca cerah di bandar Kota Bharu.
BERNAMA

Kota Bharu: Sebanyak 223 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir di lima daerah di Kelantan sejak kejadian banjir besar pada 17 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kesemua kes itu dikesan sejak 17 hingga 26 Disember lalu di lebih 50 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka dalam tempoh itu.

"Kes itu dikesan hasil ujian saringan di PPS yang dibuka di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas sebelum ini.

"Antara penyakit yang dikesan adalah penyakit jangkitan kulit (95), jangkitan saluran pernafasan (79), radang usus akut atau gastroenteritis (11), demam yang tidak bersimptom (lapan) dan selebihnya lain-lain penyakit biasa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Persekutuan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata orang ramai diingatkan supaya mendapatkan bekalan air dan makanan yang bersih bagi mengelak dijangkiti penyakit kencing tikus, kolera, tifoid dan keracunan makanan semasa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 6:46 PM