PENDUDUK di PPS SK Atas Tol, Setiu. FOTO Ghazali Kori.
PENDUDUK di PPS SK Atas Tol, Setiu. FOTO Ghazali Kori.
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Tiada kluster Covid-19 berlaku di pusat pemindahan sementara (PPS) negeri yang dilanda banjir setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dari 11 hingga 19 Disember lalu, hanya satu kes Covid-19 dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir di Terengganu yang sudah tamat menjalani isolasi pada 18 Disember.

"Dari 11 hingga 18 November lalu, sebanyak 14 kes Covid-19 dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir iaitu Selangor sebanyak tujuh kes, Kelantan (lima) dan Melaka (dua).

"Namun semua kes sudah tamat menjalani proses isolasi dan pesakit dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 301 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI), 260 kes penyakit kulit, 14 kes Acute Gastroentritis (AGE), 11 kes konjuntivitis dan satu kes cacar air dikesan dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dari 7 November hingga semalam.

"Tiada kes tifoid, kolera, leptospirosis, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta denggi dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir," katanya.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai supaya peka dengan arahan semasa pihak berkuasa serta elak mengharungi air banjir jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan penyakit leptospirosis dan meloidosis akibat air banjir yang tercemar.

"Elakkan memakan makanan terdedah kepada air banjir, makanan berada pada suhu bilik melebihi empat jam atau makanan mempunyai perubahan rasa, bau serta tekstur.

"Minum air yang sudah dimasak dan makan makanan yang bersih bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A dan AGE.

"Awasi risiko renjatan elektrik sekiranya rumah dinaiki air. Elakkan penggunaan soket elektrik yang terdedah kepada air banjir sebelum ia dipastikan selamat.

"Sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran. Pembuangan sampah di merata tempat akan mendatangkan risiko penyakit, pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk dan lain-lain," katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai di PPS untuk mengamalkan sikap bertoleransi, saling bantu-membantu dan hormat-menghormati bagi mengelakkan ketegangan atau tekanan dalam kalangan penghuni.

"Sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di PPS atau fasiliti kesihatan yang berhampiran jika mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 1:02 PM