GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Sebanyak 223 kes penyakit berjangkit dikesan di negeri ini sepanjang tempoh banjir bermula dari 17 sehingga 26 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, penyakit berkenaan membabitkan penyakit bawaan air, selsema, demam dan penyakit yang berjangkit.

"Dalam tempoh 10 hari iaitu bermula dari hari pertama pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, kita kesan 223 kes penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa banjir di negeri ini.

"Namun, kesemua mereka yang dijangkiti mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar sahaja dan tidak ada yang masuk ke hospital.

"Jangkitannya tidak serius kerana mereka mendapatkan rawatan awal daripada pasukan perubatan yang bertugas di PPS dan ada juga yang datang ke klinik berdekatan PPS," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, memandangkan musim banjir dan ramai yang menghuni PPS, jadi pelbagai penyakit mudah dijangkiti mangsa banjir.

Beliau berkata, hasil pemantauan berterusan oleh petugas kesihatan semua penyakit ini dapat dirawat dari awal sekali gus mencegah ia menular.

"Justeru, saya menasihatkan kepada masyarakat terutama mereka yang berdepan banjir supaya menjaga kesihatan masing-masing untuk mengelakkan diri daripada terkena pelbagai penyakit.

"Selain itu, mereka perlu elak daripada bermain air banjir kerana ia tidak bersih dan boleh menyebabkan jangkitan penyakit terutama yang berkaitan bawaan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 4:18 PM