JANGAN bermain air banjir dan lopak air terutamanya selepas banjir. - FOTO Google
JANGAN bermain air banjir dan lopak air terutamanya selepas banjir. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Hujan lebat berterusan sejak, pagi Jumaat lalu menyebabkan beberapa negeri di semenanjung dilanda banjir besar.

Paling teruk terjejas adalah di sekitar Lembah Klang terutama di kawasan Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Sepang, Selangor serta di ibu negara.

Keadaan banjir di Klang turut diburukkan oleh fenomena air pasang besar di perairan daerah itu.

Bencana yang tidak diduga itu memberi kesan kepada hidupan sehingga boleh membawa kepada risiko kematian.

Selain kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa, bencana banjir juga boleh menyebabkan penyakit berjangkit.

Berdasarkan perkongsian info oleh portal rasmi myhealth.gov.my, (Kementerian Kesihatan Malaysia) antara kesan paling buruk banjir adalah kesihatan manusia kerana penyakit berjangkit mudah dijangkiti ketika dan selepas bencana itu.

Banjir yang berlaku menyebabkan sampah sarap dan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air.

Sampah sarap dan sisa najis itu bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit.

Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak ketika dan selepas banjir adalah seperti jangkitan pernafasan akut, konjunktivitis (sakit mata), Leptospirosis (kencing tikus), cirit-birit, Hepatitis A, taun atau kolera, demam kepialu (tifoid), keracunan makanan dan demam denggi.

Selain itu, jangkitan kulit, demam campak (measles), penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), malaria dan cacar air juga boleh berlaku ketika dan selepas banjir.

Penyakit bawaan air atau makanan yang kerap berlaku ketika dan selepas kejadian banjir adalah seperti demam kepialu (tifoid) , taun atau kolera, Hepatitis A serta keracunan makanan.

Gejala penyakit itu adalah seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut dan sakit kepala.

Cara jangkitan penyakit itu adalah melalui minuman atau makan makanan yang dicemari kuman-kuman penyakit berkenaan, ia mudah berjangkit dan merbahaya.

SELAIN kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa, bencana banjir juga boleh menyebabkan penyakit berjangkit.
SELAIN kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa, bencana banjir juga boleh menyebabkan penyakit berjangkit.

Antara langkah pencegahan yang boleh masyarakat ambil adalah pastikan sumber air yang digunakan adalah bersih dan selamat, sentiasa mencuci tangan menggunakan air bersih, minum air yang dimasak sempurna, makan makanan yang baru dimasak dan masih panas.

Selain itu, kupas kulit buah-buahan sebelum makan, elakkan dari memakan sayur mentah, gunakan air yang bersih ketika membasuh sayur-sayuran, buah-buahan, bahan mentah dan semua peralatan ketika penyediaan makan dan minum.

Juga diingatkan, pilih kedai makanan dan pengendali makanan yang bersih dan sudah mendapat suntikan anti tifoid apabila makan di luar.

Menurut portal itu lagi, orang ramai turut dinasihatkan supaya berwaspada dengan penyakit Leptospirosis iaitu sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria spirochete (leptospira).

Leptospirosis berlaku di seluruh dunia tetapi lebih biasa berlaku di negara tropika seperti Malaysia.

Bakteria Leptospira terdapat di dalam air kencing haiwan mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing, lembu dan sebagainya.

Penyakit itu boleh berjangkit kepada manusia yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air atau air banjir yang dicemari dengan air kencing haiwan yang dijangkiti bakteria berkenaan.

Antara simptom penyakit Leptospirosis ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, kemerahan pada mata, ruam, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman.

Untuk itu, beberapa langkah pencegahan perlu diamalkan antaranya memastikan kebersihan persekitaran rumah, tutup dan tudung makanan supaya dihindari tikus, sentiasa mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri, jangan bermain air banjir dan lopak air terutamanya selepas banjir.

Selain itu, cuci dan balut sebarang luka yang terdapat pada anggota badan dengan sempurna supaya tidak terdedah dengan air banjir.

Penyakit konjunktivitis (sakit mata) juga antara penyakit yang kerap terjadi ketika banjir, ia mudah merebak dengan cepat melalui perkongsian alat-alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan serta bergaul rapat dengan orang yang sakit mata.

Malah penyakit yang disebabkan kuman (bakteria atau virus) atau alahan itu adalah radang pada bahagian putih mata.

CIRIT-birit, taun serta kolera antara penyakit berjangkit yang mudah merebak ketika dan selepas banjir. - FOTO Google
CIRIT-birit, taun serta kolera antara penyakit berjangkit yang mudah merebak ketika dan selepas banjir. - FOTO Google

Antara gejala sakit mata ialah mata merah, berair dan pedih; discaj tahi mata yang berlebihan, mata terasa gatal dan mata sensitif terhadap cahaya.

Untuk itu, langkah pencegahan yang patut diamalkan adalah sentiasa mencuci tangan menggunakan sabun dan air bersih selepas menyentuh mata dan sebarang permukaan, elakkan bergaul dengan orang yang sakit mata dan jangan berkongsi barang peribadi.

Selepas banjir surut, banyak kawasan terjejas turut berpotensi sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam memastikan tiada tempat yang boleh menakung air seperti plastik, tin minuman dan bekas makanan polisterin yang digunakan atau hanyut ketika banjir.

Bekas-bekas itu perlulah dibuang dengan betul dan setiap penghuni juga perlu memastikan persekitaran rumah mereka bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Demam Denggi adalah berpunca dari nyamuk Aedes dan antara tanda-tandanya ialah bermula dengan demam mengejut, dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot (myalgias dan arthralgias, sakit pinggang yang teruk, ia juga digelar demam tulang-pecah atau break-bone fever) dan gatal-gatal.

Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bintik-bintik merah terang dan biasanya muncul di anggota bahagian bawah (pada sesetengah pesakit) selain boleh merebak hampir kepada keseluruhan tubuh.

Kulit badan juga boleh bertukar kemerahan diselangi dengan tompok-tompok kulit warna yang normal.

Terdapat juga kemungkinannya simptom gastritis dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-cirit.

Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luar biasa, menyebabkan radang otot jantung (cardiomyopathy).

Demam denggi biasanya berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam (dikenali sebagai pola biphasic).

Secara klinikal bilangan sel darah pembeku (platelet) akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ke tiga (third space loss) di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya), kerana kapilari darah menjadi rapuh (capillary fragillity).

Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan.

Dalam pada itu, orang ramai yang menjadi mangsa banjir perlu sentiasa mematuhi arahan daripada pihak berkuasa dan pindah segera ke pusat pemindahan apabila diarahkan.

Ibu bapa juga perlu memastikan anak masing-masing tidak bermain air banjir dan tutup semua suis utama elektrik, injap utama bekalan air dan gas sebelum meninggalkan rumah.

Apa yang penting, dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami demam, cirit-birit, muntah dan sebagainya.

Sumber: myhealth.gov.my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 7:00 AM