TINJAUAN di sekitar Bukit Canggang mendapati banjir masih belum surut sepenuhnya. FOTO Bernama
TINJAUAN di sekitar Bukit Canggang mendapati banjir masih belum surut sepenuhnya. FOTO Bernama
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 86 lagi kes positif Covid-19 yang dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan adalah 267 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 75 kes baharu itu dikesan ketika saringan sebelum memasuki Pusat Pemindahan Sementara (PPS), manakala 11 kes lagi kes sedia ada dan kini sedang menjalani kuarantin sebelum banjir berkenaan.

"Setakat ini tiada kejadian kes positif Covid-19 dilaporkan berlaku dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS dan semua 86 kes diasingkan daripada mangsa banjir lain.

"Sembilan kes ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hospital (12), PPS kuarantin (62) dan tiga kes menjalani kuarantin di rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, selain Covid-19, banjir turut berisiko meningkatkan kejadian penyakit berjangkit lain seperti keracunan makanan [Acute Gostroenteritis (AGE), tifoid, dan kolera], penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD), leptospirosis, jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit, dan demam denggi.

"Sehingga hari ini, sejumlah 203 kes ARI, penyakit kulit (73 kes), AGE (19), demam (12), cacar air (dua), penyakit berjangkit lain yang membabitkan mangsa banjir (55).

"Bagaimanapun, tiada kes konjunktivitis, tifoid, kolera, HFMD, leptospirosis dan denggi yang dilaporkan sehingga kini.

"KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa cakna akan risiko penyakit berkaitan banjir yang mungkin terjadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 8:16 PM