Norzamira Che Noh


Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan kerja pembersihan sampah pukal pascabanjir di Shah Alam dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, ketika ini pihaknya giat melaksanakan operasi pembersihan terutama di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan Seksyen 16 (Padang Jawa) yang terjejas teruk akibat banjir minggu lalu.

Katanya, terdapat kekangan dalam operasi pembersihan berikutan laluan sempit dan banyak kenderaan yang diparkir di tepi jalan sehingga menyukarkan jentera MBSA untuk masuk ke kawasan berkenaan.

"Justeru, kita minta penduduk untuk bersabar kerana MBSA kini full force dalam operasi pembersihan sampah pukal pascabanjir ini," katanya ketika ditemui di Wisma MBSA, di sini, hari ini

Mengulas lanjut, Zamani Ahmad berkata, setakat ini, kutipan sampah pukal pascabanjir kini mencecah 824 tan metrik dan jumlah berkenaan dijangka akan meningkat.

Katanya, MBSA sebelum ini membuka satu kawasan transit sampah di Seksyen 21 berikutan banjir yang melanda.

"Sebelum ini, sampah yang dikutip akan dihantar ke tempat pelupusan di Jeram, Kuala Selangor bagaimanapun susulan banjir dan sampah yang banyak, ia dikumpulkan dahulu di pusat transit berkenaan.

"Jika ingin terus ke tempat pelupusan, ia akan mengambil masa kira-kira tiga jam bagi satu perjalanan tidak termasuk masa menunggu untuk memasuki kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata, pusat transit berkenaan kini sudah hampir 95 peratus penggunaan dan MBSA akan membuka satu lagi pusat yang sama di Seksyen 34 bagi menampung jumlah kutipan sampah yang dijangka meningkat.

Dalam pada itu, mengulas lanjut berkenaan kereta yang tersadai akibat banjir, Zamani Ahmad berkata, MBSA hanya bertindak mengalihkan kereta terbabit ke bahu jalan agar tidak mengganggu laluan.

Katanya, ia juga untuk memastikan laluan lancar bagi jentera MBSA yang sedang dalam operasi pembersihan.

"Kita tidak bawa kereta orang awam ke mana-mana lokasi, hanya mengalihkan agar ia tidak mengganggu laluan jentera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 6:14 PM
Datuk Zamani Ahmad Mansor (kanan) diiringi Naib Presiden Kewangan Richworks International, Nasul Hadi Shukran Jamil (dua dari kiri) melawat Bilik Gerakan Banjir Shah Alam di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Datuk Zamani Ahmad Mansor (kanan) diiringi Naib Presiden Kewangan Richworks International, Nasul Hadi Shukran Jamil (dua dari kiri) melawat Bilik Gerakan Banjir Shah Alam di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR