Amir Abd Hamid

Hulu Langat: Bencana banjir yang turut melanda daerah ini seminggu yang lalu juga menghasilkan timbunan sampah pukal, selepas penduduk mula kembali membersihkan kediaman masing-masing.

Tinjauan mendapati longgokan sampah pukal seluas dua padang bola dapat dilihat di kawasan lapang rizab wakaf kubur yang dijadikan transit terletak berhampiran perumahan Taman Sri Nanding, di sini.

Sebelum ini laluan masuk di kawasan perumahan berkenaan sukar dilalui berikutan terlampau banyak sampah dikeluarkan dan diletakkan di bahu jalan dan di luar rumah.

Namun tinjauan hari ini mendapati laluan berkenaan sudah dibersihkan dan semua sampah itu diletakkan di tapak sementara berdekatan taman itu.

Ketua Operasi KDEB Waste Management Kajang, Abd Razak Abu Talib berkata, sebenarnya tapak pelupusan sampah sisa pukal terletak di Sungai Lalang, Semenyih iaitu kira-kira 25 kilometer (km) dari Nanding.

"Pada mulanya sehari dua kita beroperasi untuk pembersihan sisa banjir di sini, kita terpaksa hantar di Sungai Lalang.

"Namun memandangkan proses penghantaran itu memakan masa, satu trip sehingga lebih dua jam sebab semua pun maklum kesesakan lalu lintas sangat teruk ketika bermula banjir. Ia melambatkan proses operasi, jadi kita minta bantuan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) supaya sediakan beberapa kawasan transit sampah pukal.

"Alhamdulillah, MPKj benarkan pembukaan transit sampah pukal di Stadium Mini Batu 14 pada 21 Disember lalu namun kawasan itu masih tidak mencukupi untuk menerima sampah sebelum kemudian dua lagi transit dibuka iaitu di tanah rezab wakaf perkuburan Nanding dan kawasan transit ketiga adalah di Sungai Lui," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Pemandangan udara kawasan Taman Sri Nanding yang mana sampah pukal dan sisa sampah sudah dibersihkan. FOTO Aizuddin Saad
Pemandangan udara kawasan Taman Sri Nanding yang mana sampah pukal dan sisa sampah sudah dibersihkan. FOTO Aizuddin Saad

Beliau berkata, secara purata untuk Nanding sahaja bagi sehari kira-kira 500 tan hingga 600 tan sampah pukal dibuang di transit rezab tanah wakaf perkuburan Nanding.

Malah, katanya, maksimum pernah cecah melebihi 1,000 tan sehari.

"Tapak ini bukan sahaja digunakan oleh pihak KDEB malah MPKj dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dari segi logistik serta tenaga kerja sukarelawan.

"Operasi pembersihan pasca banjir dijalankan KDEB babitkan 300 pekerja tidak kira siang malam. Biasanya mulai 7.30 pagi dan berhenti antara 3 pagi atau 4 pagi. Kita bersama dengan MPKj," katanya.

Beliau berkata, dalam sehari KDEB cawangan Kajang menggunakan antara 80 hingga 90 lori 'roro' serta dibantu 40 lori roro dari KDEB cawangan Ampang.

Abd Razak berkata, sebenarnya pihaknya sasar 26 Disember lalu boleh selesai kutipan sisa sampah pukal banjir di kawasan berkenaan.

"Namun situasi tidak membenarkan kita capai sasaran antaranya faktor kesesakan jalan raya dan penduduk juga masih dalam operasi membuang sampah pukal akibat banjir yang lalu. Kita terpaksa lanjutkan sasaran sehingga 2 Januari ini.

"Tetapi jika diikutkan kapasiti sampah pukal akibat banjir yang sudah kita angkat di Nanding sahaja, saya boleh katakan mencapai sekitar 60 peratus hingga 70 peratus," katanya.

Beliau berkata, selain lori roro yang digunakan untuk mengangkut sampah pukal, mesin penyedut sisa sampah turut digunakan untuk menyedut lumpur.

Pemandangan udara tempat pelupusan sampah sementara bagi sampah pukal selepas terbiar hampir seminggu di Taman Sri Nanding ketika tinjauan pasca banjir di Hulu Langat. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pemandangan udara tempat pelupusan sampah sementara bagi sampah pukal selepas terbiar hampir seminggu di Taman Sri Nanding ketika tinjauan pasca banjir di Hulu Langat. FOTO AIZUDDIN SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 4:53 PM