PENGUAT KUASA MBSA melakukan kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Baru Hicom. FOTO Ihsan MBSA
PENGUAT KUASA MBSA melakukan kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Baru Hicom. FOTO Ihsan MBSA
Samadi Ahmad dan Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sebanyak 13,800 tan sampah pukal dikutip Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di beberapa kawasan terjejas banjir sehingga semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, memaklumkan kerja pembersihan masih dilakukan ketika ini oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), kakitangan MBSA serta kontraktor tambahan yang dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

"Setakat semalam, dianggarkan 13,800 tan sampah pukal banjir sudah dikutip membabitkan kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25; Padang Jawa; Kampung Kebun Bunga; Kampung Baru Hicom; Kampung Lombong dan Kampung Lanchong Jaya.

"Bagi memudahkan dan mempercepatkan kerja-kerja pembersihan serta kutipan pasca banjir, MBSA juga mengenalpasti tiga stesen pemindahan sementara (transfer station) sisa banjir di Seksyen 21, Seksyen 34 dan Seksyen 25," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor meletakkan jangkaan dua minggu untuk menyelesaikan kerja pembersihan serta kutipan sampah pukal pasca banjir di daerah ini.

Dalam pada itu, sebanyak 11 stesen pemindahan sementara dibuka untuk sampah pukal bagi mempercepatkan usaha pembersihan sampah pasca banjir di negeri ini.

Selain di kawasan pentadbiran MBSA, stesen pemindahan berkenaan turut dibuka di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj); Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Sementara itu di Sepang, kutipan sampah di daerah ini meningkat kepada 1,500 tan mulai Rabu minggu lalu hingga semalam berikutan kejadian banjir di kawasan itu.

Ketua Operasi KDEBWM Cawangan Sepang, Mohd Fauzan Hushim berkata, ketika ini tiga kawasan dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara bagi melonggokkan barangan elektrik dan perabot yang rosak sebelum dihantar ke kawasan pusat pelupusan bagi mengelak kesesakan di tempat pembuangan.

Menurutnya, tiga kawasan itu terdiri daripada Taman Emas di Dengkil, Taman Lestari Mewah, Jenderam dan Pusat Perniagaan Medan 120 Bandar Baru Salak Tinggi (BBST).

Katanya, secara purata pungutan sehari adalah antara 200 hingga 300 tan membabitkan kawasan yang terkesan dan meningkat 10 kali ganda berbanding kurang daripada satu tan pada hari biasa.

"Inisiatif diadakan kerajaan Selangor ini bertujuan mengelak longgokan sampah di kawasan kediaman penduduk serta kesesakan di tapak pelupusan sampah disebabkan banyak lori yang keluar masuk ," katanya.

Fauzan berkata, berikutan itu, KDEBWM meningkatkan kerja kutipan sampah banjir di daerah ini dengan menyediakan 33 lori tiga dan lima tan membabitkan 69 kakitangan.

Katanya, sampah yang dikumpul di pusat pemindahan sementara itu akan dibawa secara berperingkat ke tapak pelupusan di Tanjung Dua Belas dan tapak pelupusan lengai Dengkil.

"Kerja-kerja memindahkan sampah pukal di kediaman penduduk turut mendapat bantuan dari lori Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 4:05 PM