Foto hiasan
Foto hiasan
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) minta kerjasama penduduk di kawasan terjejas banjir agar tidak mencampur sampah pukal banjir dengan sampah domestik memandangkan operasi kutipan sudah kembali seperti sediakala.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, pihaknya sudah memberikan tempoh masa sehingga 17 Januari lalu kepada penduduk untuk menguruskan sampah pukal akibat banjir di kediaman masing-masing.

Menurutnya, jadual operasi sampah pukal kini sudah kembali seperti biasa di mana ia hanya dikutip pada Sabtu atau Ahad sahaja.

"Kita sudah beri masa sehingga 10 Januari dan dilanjutkan lagi sehingga 17 Januari lalu untuk sampah pukal banjir malah kerja pembersihan sampah pukal juga sudah selesai 100 peratus.

"Cuma saya minta penduduk yang masih mempunyai baki sampah pukal banjir agar mengeluarkan sampah itu pada hari Sabtu atau Ahad, diletakkan di hadapan rumah sahaja bukan di jalan besar.

"Kita berharap penduduk asingkan sampah berkenaan sebab sampah domestik busuk dan kutipan sampah domestik juga kembali seperti biasa iaitu tiga hari seminggu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni mangsa banjir menerusi Program Sumbangan 1,525 Unit Periuk Pelbagai Guna di empat kawasan terjejas termasuk di Seksyen 25 di sini, hari ini.

Zamani Ahmad berkata, pihaknya berharap penduduk di kawasan terjejas banjir mengambil maklum bahawa tiada lagi kutipan sampah pukal secara harian.

"Pada minggu terakhir Disember sehingga 17 Januari lalu, kita memang fokus kepada sampah pukal mangsa banjir tetapi sekarang operasi kutipan kembali kepada asal.

"Kita harap penduduk dapat beri kerjasama dan bersabar kerana kutipan sampah pukal pada hujung minggu sahaja," katanya.

Mengulas mengenai program sumbangan periuk pelbagai guna itu katanya, sejumlah 1,525 unit diagihkan kepada mangsa banjir di empat lokasi di bawah pentadbiran MBSA.

"Kita mengambil inisiatif memberikan sumbangan sebanyak 1,525 unit periuk pelbagai guna kepada mangsa-mangsa banjir di Shah Alam hari ini bagi fasa pertama dalam usaha meringankan bebanan mereka.

"Pemberian sumbangan ini membabitkan empat lokasi iaitu sebanyak 635 unit di Taman Sri Muda Seksyen 25, 400 unit di Padang Jawa Seksyen 17, 240 unit di Kampung Lanchong Jaya Seksyen 28 dan 250 unit di Kampung Kebun Bunga Batu 3," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 11:39 AM