BRYAN (tengah) pada Program Pencarian bakat Sukan Akuatik di Kompleks Renang Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, kelmarin. FOTO WAN NABIL NASIR
BRYAN (tengah) pada Program Pencarian bakat Sukan Akuatik di Kompleks Renang Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, kelmarin. FOTO WAN NABIL NASIR
Aizat Sharif


Kangar: Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kedah antara negeri yang kini memulakan langkah dalam mengembangkan pembangunan atlet sukan terjun untuk masa hadapan.

Ini kerana sukan terjun sebelum ini tidak diambil serius dari segi pembangunannya oleh persatuan sukan dan Majlis Sukan Negeri (MSN) masing-masing yang lebih menumpukan kepada sukan lain.

Malah, sukan berkenaan hanya bertumpu kepada negeri yang banyak melahirkan atlet dalam sukan itu seperti Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

Pengarah Teknikal Skuad Terjun Negara, Bryan Nickson Lomas berkata, sukan terjun sebenarnya boleh dibangunkan sekiranya semua agensi yang terbabit dalam sukan ini meletakkan matlamat terhadap masa depan sukan ini.

"Apa yang yang saya nampak bersama (Pengarah Prestasi Tinggi Skuad Terjun Negara), Khairul Safwan Mansur adalah apabila bila kita pergi ke negeri di seluruh negara, kita merasakan MSN dan persatuan sukan mempunyai keutamaan lain dalam sukan yang mahu diberi fokus terutama berpotensi meraih pingat dalam Sukan Malaysia (Sukma).

"Disebabkan itu, penyaluran peruntukan akan diberi pada sukan tertentu sahaja menyebabkan pembangunan sukan terjun ini menjadi keutamaan paling bawah di beberapa negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui secara eksklusif pada Program Fast Track Kebangsaan Akuatik Terjun di Kolam Renang Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini kelmarin.

Katanya, berikutan itu, pihaknya tidak nampak sukan terjun ini diambil serius dan dibangunkan di beberapa negeri terutama dalam penghasilan bakat baru yang boleh diketengahkan negara pada masa hadapan.

"Walaupun begitu, saya melihat sukan terjun ini masih mempunyai masa depan dalam pembangunan atlet di peringkat negeri.

"Selain Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Perak yang menjadikan sukan terjun sebagai 'core' atau teras kepada pembangunan sukan negeri, saya melihat Negeri Sembilan sebagai contoh terdekat kepada perkembangan ini terutama dengan wujudnya prasarana sukan terjun di Seremban.

"Malah, Negeri Sembilan dilihat melibaturuskan semua pihak termasuk persatuan sukan akuatik dan mereka sudah melantik jurulatih sepenuh masa.

"Selain itu, negeri lain yang dilihat berpotensi untuk membangunkan sukan terjun ini adalah Melaka dan Johor yang juga sudah memulakan semula program sukan ini dengan melantik jurulatih sukan terjun masing-masing.

"Diharapkan negeri lain dapat mencontohi kesungguhan negeri ini dalam pembangunan sukan yang sudah pun memberikan kita pingat di Olimpik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 10:46 PM