Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Selangor memerlukan bantuan lebih banyak lori dan sukarelawan bagi mempercepatkan operasi pembersihan sampah pukal di kawasan terjejas akibat banjir di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja pembersihan sampah pukal membabitkan 1,200 petugas KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB) iaitu syarikat penuh milik kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, tenaga sukarelawan diperlukan untuk mengangkut sampah dari rumah penduduk yang tidak dapat diakses lori.

"Di lorong kecil, petugas kita tidak mampu sepenuhnya, kita memerlukan sukarelawan bagi mengangkut sampah keluar dari rumah dan lorong ke jalan besar, di jalan besar nanti pihak KDEB Waste boleh pungut dan uruskan.

"Sekarang ini keutamaan kita pembersihan rumah sehingga bawa keluar sedang berjalan, jadi kita perlu percepatkan, sebab itu sukarelawan yang hendak datang, selain bagi bantuan makanan dan keperluan, boleh bantu mengeluarkan sampah di rumah mangsa terjejas akibat banjir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Operasi Pembersihan KDEBWM Pasca Banjir di Jalan Mat Raji, Padang Jawa, Seksyen 16 di sini hari ini.

Pada masa sama katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan pihak yang boleh menyumbangkan lori bersesuaian untuk mengangkut sampah berkenaan.

LONGGOKAN sampah pukal penduduk di kawasan penempatan di Padang Jawa, Seksyen 16 yang terjejas akibat banjir. FOTO Ruwaida Md Zain
LONGGOKAN sampah pukal penduduk di kawasan penempatan di Padang Jawa, Seksyen 16 yang terjejas akibat banjir. FOTO Ruwaida Md Zain

"Kita ada lebih 400 lori seluruh Selangor untuk angkat sampah ini, tetapi kalau mana-mana pihak hendak bagi lori kita sangat hargai.

"Sebab semakin banyak lori semakin cepat kita dapat bersihkan sampah banjir di kawasan terjejas.

"Rumah di kawasan taman agak mudah sebab jalan mereka boleh akses lori, tetapi jalan di kampung seperti ini agak sukar (lori masuk)," katanya.

Amirudin berkata, pihaknya menyasarkan proses pembersihan itu selesai dalam tempoh satu hingga dua minggu tetapi bergantung kepada keadaan semasa.

"Hari ini saya sudah arahkan waktu pengoperasian kawasan pelupusan sampah Jeram Sanitary Landfill di Jeram, Kuala Selangor dilanjutkan daripada jam 8 malam sehingga 11 malam bagi mengelakkan lori sampah beratur panjang untuk membuang sampah pukal banjir di fasiliti itu," katanya.

Sementara itu katanya, pihaknya sedang mempertimbangkan agar kenderaan mangsa banjir yang tersadai di tepi jalan dialihkan ke tempat sesuai.

"Apabila banyak kereta tersadai ini, ini menyukarkan lori masuk ke kawasan ini, jadi kita akan memindahkan ke satu lokaliti yang memudahkan pergerakan kenderaan pembersihan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 12:06 PM