PENJAGA gol Terengganu FC, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin mengeluarkan bola ketika diasak pemain Penang FC pada perlawanan di Stadium Bandaraya, malam tadi. FOTO MIKAIL ONG
PENJAGA gol Terengganu FC, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin mengeluarkan bola ketika diasak pemain Penang FC pada perlawanan di Stadium Bandaraya, malam tadi. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner hairan apabila video bantuan pengadil (VAR) tidak disemak selepas gol Manuel Ott dibatalkan kerana dikatakan berada pada kedudukan ofsaid pada aksi bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Tommy berkata, berlaku beberapa situasi dianggap ganjil sehingga VAR itu tidak dapat disemak dan tidak memahami mengapa pihaknya hanya mengetahui masalah itu selepas 20 minit gol itu tidak dapat disahkan.

"Saya ada membuat aduan berkenaan gol itu kerana ada beberapa perkara yang ganjil.

"Tetapi saya tidak faham kenapa selepas 20 minit mereka (pengadil) datang kepada saya dan kata mereka tidak mempunyai (rakaman) VAR itu.

"Mereka kata, mereka tidak dapat melihat dengan jelas garisan. Tetapi dalam sesuatu situasi (misalnya) untuk (menentukan) penalti atau gol tidak perlu garisan. Anda tahu, tiada apa-apa untuk diperiksa (VAR)," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Malam tadi, gol dijaringkan Ott hasil sepakan percuma kapten pasukan, Safawi Rasid pada minit ke-38 itu dikira ofsaid selepas pembantu pengadil mengangkat bendera tanpa menyemak VAR sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Skuad Penyu di media sosial.

Bagaimanapun, Tommy berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan menyifatkan kedua-dua pasukan mempunyai kualiti hampir setara dengan masing-masing gagal membolosi gawang gol lawan.

"Kadang-kadang jurulatih harus berpuas hati. Apabila saya melihat perlawanan tadi (semalam) kita boleh kalah melihat kepada jumlah peluang yang dicipta pasukan lawan.

"Jika pengadil kata gol kita itu adalah gol biasa, kita boleh menang. Saya ingat ada beberapa situasi yang sukar.

"Separuh masa pertama apabila Alif Zakaria dapat menyelamatkan keadaan apabila bola hampir masuk ke gawang dan saya menjangkakan sedikit lagi kami boleh menjaringkan gol, tetapi ia tidak berlaku.

"Sebenarnya, saya sudah jangka dan bersedia apabila perlawanan pertama Penang seri dengan Sabah dan hari ini (semalam) giliran kita jumpa mereka, jadi saya melihat setiap perlawanan hampir sama dan agak sukar," katanya yang turut memuji pemain sayapnya, Akhyar Rashid yang beraksi cemerlang setelah berehat selama kira-kira dua minggu selepas menjadi mangsa pukul dan samun pada 2 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 10:34 PM