Jawahar Ali Taib Khan
Jawahar Ali Taib Khan
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Isu keperluan kepada pekerja asing dan kenaikan harga barang menjadi antara agenda utama Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Ke -17, 16 Disember ini.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, seramai 400 ahli dijangka hadir dalam mesyuarat yang diadakan secara bersemuka.

Menurutnya, tumpuan akan diberikan kepada isu pekerja asing yang meletakkan pengusaha restoran di seluruh negara dalam keadaan sukar ketika ini.

"Mesyuarat agung ini memfokuskan kepada pekerja asing di dalam sektor restoran kerana kesukaran mendapatkan pekerja tempatan sebelum ini.

"Ahli Presma akan tampil dengan cadangan kepada kerajaan bagi memastikan seluruh ahli dapat beroperasi seperti biasa.

"Ini kerana, kami baru saja pulih sedikit daripada kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 yang melanda negara sejak Mac 2020," katanya.

Jawahar Ali berkata, sebelum ini pihaknya juga sudah menjalankan program penjodohan pekerjaan di beberapa kawasan, namun hasilnya tidak memberangsangkan.

Menurutnya, mesyuarat yang diadakan di Dewan Pusat Komuniti Sentul bermula 2 petang itu akan diadakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Mesyuarat ini akan dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp Datuk Sahul Hameed Dawood.

"Ia penting kerana Presma juga akan membincangkan isu kenaikan harga barang yang turut menjejaskan perniagaan di restoran.

"Segala cadangan ahli akan dibawa kepada kerajaan untuk pertimbangan demi kebaikan bersama," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Presma tetap dengan ketetapan untuk tidak menaikkan harga makanan dan minuman sehingga hujung tahun ini bagi membantu pelanggan.

"Walaupun ini keputusan sukar, ia tetap akan dilaksanakan sebagai komitmen ahli Presma ketika banyak pihak terkesan dengan kenaikan harga barang.

"Syukur keadaan semakin pulih dan kami masih dapat bertahan ketika rakan-rakan usahawan lain berdepan risiko gulung tikar, kesan pandemik yang melanda ketika ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mempelawa mana-mana peniaga yang berminat untuk menjadi ahli Presma supaya hadir ke mesyuarat agung berkenaan.

Katanya, ia bakal menjadi platform untuk ahli bertukar pandangan demi kebaikan bersama bukan saja peniaga dan pelanggan, tetapi juga ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 6:22 PM